Ekonomi

SME Bank XCESS 2023 buka jalan untuk kemajuan PMKS

Pusat Sehenti Jaringan Global dan Peluang Pengembangan Perniagaan

SME Bank telah melancarkan SME Bank XCESS 2023, program padanan perniagaan peringkat kebangsaan terbesarnya yang didedikasikan untuk memperkukuh komuniti PMKS. Acara 2 hari itu direka khusus untuk menggambarkan trajektori strategik bagi PMKS sebagai panduan mereka untuk mengembangkan perniagaan, membina rangkaian global, dan mengakses peluang pembiayaan dan pembinaan kapasiti.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dalam ucapan perasmiannya berkata, “Kerajaan amat komited untuk memastikan visi Dasar Keusahawanan Negara 2030 dapat direalisasikan. Komitmen ini diterjemahkan melalui penyediaan persekitaran yang diperlukan oleh PMKS seperti, memperkukuh infrastruktur yang menyokong pembangunan PMKS, membina kapasiti dan keupayaan PMKS, dan menambah baik akses kepada pembiayaan untuk PMKS. Kerajaan menyokong penuh program SME Bank XCESS sebagai program perdana yang menunjukkan komitmen berterusan daripada Kementerian dan agensinya dalam memacu pertumbuhan PMKS secara lebih inklusif dan mampan.”

Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Wira (Dr.) Aria Putera Ismail berkata, “Tahun ini, SME Bank XCESS akan menampilkan 100 rakan strategik termasuk agensi Kerajaan, syarikat GLC, syarikat runcit dan pasar raya besar, syarikat Anchor, pembeli antarabangsa, dan banyak lagi. Sorotan penting untuk edisi 2023 ialah pengenalan XCESS Beyond Borders, yang membolehkan PMKS berhubung dengan 24 pembeli dari negara ASEAN dan India. Sehingga pagi ini, SME Bank XCESS 2023 telah menerima 80,000 pengunjung dari platform dalam talian dan juga fizikal yang melebihi sasaran awal 40,000 pengunjung.”

Menyatukan PMKS dengan Syarikat Anchor di bawah Program Umbrella SME Bank

Pelancaran SME Bank XCESS 2023 juga menyaksikan SME Bank mengumumkan senarai syarikat Anchor dan peserta baharu di bawah Program Umbrella SME Bank. Program ini merupakan program pembangunan unik yang memberi peluang kepada usahawan untuk memulakan perniagaan yang disokong oleh model perniagaan yang kukuh oleh syarikat Anchor. sekali gus meminimumkan risiko kegagalan perniagaan.

Selain itu, anak syarikat milik penuh SME Bank, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR) akan menyediakan bimbingan keusahawanan secara percuma kepada peserta program. SME Bank kini bekerjasama dengan tujuh buah syarikat Anchor di bawah Program Umbrellanya, iaitu Ramly Food Processing Sdn. Bhd., Prowheels Distributor (M) Sdn. Bhd., Kara Holdings Sdn. Bhd., Chatime Malaysia Sdn. Bhd., Bubblebee Sdn. Bhd., Bateriku (M) Sdn. Bhd., dan PETRONAS Lubricants Marketing (Malaysia) Sdn. Bhd. SME Bank memperkenalkan tiga lagi syarikat Anchor baharu untuk tahun 2023, iaitu MAIWP Healthcare Sdn. Bhd., Glories Gadget (M ) Sdn. Bhd. dan Siti Khadijah Apparel Sdn. Bhd. serta sembilan orang peserta program yang akan bernaung di bawah pelbagai syarikat Anchor. Selain itu, dua syarikat Anchor di bawah Program Umbrella SME Bank iaitu, PETRONAS Lubricants Marketing (Malaysia) Sdn. Bhd. dan Bateriku (M) Sdn. Bhd., mengumumkan kerjasama strategik untuk menyediakan rangkaian bekalan, perkhidmatan “pick-up and drop”, serta pembangunan modal insan untuk bengkel PETRONAS AutoExpert.

Sejak Program Umbrella SME Bank diperkenalkan pada 2019, SME Bank telah meluluskan 33 permohonan pembiayaan bernilai RM14.7 juta kepada peserta program. Pihak Bank juga menyokong tujuh buah syarikat Anchor melalui pembiayaan bernilai RM75.5.

Pertandingan SME Bank Sandbox 2023 

SME Bank XCESS 2023 turut menyaksikan pengumuman dan penyampaian hadiah untuk pemenang Pertandingan SME Bank Sandbox 2023. SME Bank secara berterusan memainkan peranan dalam memupuk dan membangunkan usahawan baharu pada peringkat awal, seperti syarikat permulaan dan perusahaan sosial, sambil menyokong usahawan PMKS. Pertandingan SME Bank Sandbox 2023 bertujuan untuk menggalakkan dan menyokong pembangunan idea perniagaan yang bertanggungjawab secara sosial dan inovatif yang akan memberi impak positif di bawah Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 12 (SDG 12): Penggunaan dan Pengeluaran Mampan.

“Pertandingan yang pertama kali diadakan ini mendapat 461 penyertaan daripada dua kategori iaitu kategori Universiti/Kolej dan Terbuka. 20 finalis daripada dua kategori ini telah dipilih untuk menyertai sesi kem latihan dalam talian selama tiga hari bersama anak syarikat kami, CEDAR, dan semasa peringkat akhir, mereka telah membentangkan idea perniagaan mereka kepada panel juri yang berpengalaman,” tambah Datuk Wira Aria.

Umorine Technologies Sdn. Bhd., yang pakar dalam teknologi mendalam (deep technology) dan penyelesaian penyimpanan tenaga, muncul sebagai Juara bagi Kategori Terbuka dan membawa pulang hadiah kemenangan RM50,000, manakala Biome (Zircochem Resources) dan Moms Village Asia Sdn. Bhd. masing-masing memenangi tempat kedua (RM30,000) dan ketiga (RM20,000).  Bagi kategori Kolej/Universiti, Greenfuse dari Universiti Teknologi Malaysia memenangi RM30,000 sebagai Juara Kategori, Chiwax Enterprise dari Politeknik Sandakan memenangi tempat kedua dengan RM20,000, diikuti ICE dari Universiti Sains Malaysia yang menduduki tempat ketiga dengan RM10,000.

SME Bank XCESS 2023 menawarkan lapan teras: akses kepada pembiayaan, program pembangunan usahawan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Kumpulan SME Bank; Program Rentas Sempadan yang menampilkan aplikasi Akses ASEAN; Program Pembangunan Vendor di bawah KUSKOP, Syarikat Runcit dan Pasar Raya Besar, Invest Malaysia, Pembangunan Kapasiti, Pembiayaan Alternatif dan teras yang baru diperkenalkan,  XCESS Beyond Borders

Untuk maklumat lanjut mengenai SME Bank dan pembiayaan serta programnya yang tersedia, layari www.smebank.com.my  atau hubungi 03-26037700. – SM 

Artikel berkaitan > Sukuk Kelestarian SME Bank terima Anugerah Terbaik oleh The Asset Triple A 2023

(Visited 177 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button