fbpx
Pendidikan

Sirius TV tawar dua saluran kepada KPM untuk televisyen pendidikan

Stesen televisyen satelit berbayar terbaharu di Malaysia, Sirius TV menawarkan dua saluran percuma kepada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk dijadikan saluran TV Pendidikan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Smart Digital International Sdn Bhd. (Smart), Khairuddin Abdul Rahman berkata, tawaran saluran yang beroperasi selama 24 jam itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial syarikat kepada masyarakat yang sedang menanggung beban akibat pandemik Covid-19.

Menurut beliau, penggunaan kedua-dua saluran saluran tersebut akan dapat membantu KPM untuk menyiarkan kandungan pendidikan bagi sekolah rendah dan sekolah menengah dengan lebih meluas.

Ini kerana Satelit SES–12 yang digunakan oleh Sirius TV mempunyai capaian yang amat baik di seluruh negara termasuklah di kawasan pendalaman.

Saluran tersebut membolehkan KPM menyediakan medium untuk para pelajar mengakses kandungan pendidikan dalam bentuk rakaman mahupun siaran langsung tanpa terlalu bergantung kepada capaian internet.


“Penangguhan sesi persekolahan disebabkan peningkatan mendadak kes COVID-19 telah memaksa pihak KPM melaksanakan program Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang banyak bergantung kepada akses internet dan peranti.

“Melalui penggunaan kedua-dua saluran percuma yang kami tawarkan ini, perlaksanaan program PdPR akan dapat dipertingkatkan lagi keberkesanannya terutamanya di kawasan di mana capaian internet tidak memuaskan,”kata Khairuddin dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, penggunaan kedua-dua saluran itu juga dapat meringankan beban kekurangan peranti seperti telefon pintar dan tablet untuk kegunaan PdPR yang dihadapi oleh keluarga berpendapatan rendah ketika ini.

Menurut Khairuddin, tawaran tersebut selari dengan sokongan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Malaysia (NUTP) terhadap cadangan pengwujudan saluran televisyen pendidikan yang boleh diakses oleh pelajar dari semua peringkat pendapatan dan di kawasan luar bandar.

Langkah tersebut diyakini dapat mengatasi permasalahan-permasalahan yang dihadapi oleh pihak sekolah dan ibu bapa dalam perlaksanaan PdPR ketika ini.

Stesen Satelit Sirius TV akan dilancarkan secara rasmi pada suku pertama tahun ini dengan mempunyai sehingga 30 saluran yang menawarkan pakej tanpa kontrak dan dengan langganan percuma selama 12 bulan kepada pengguna.-SM

(Visited 184 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button