Ekonomi

PEGIM perjuang industri pajak gadaian Islam – Mohd Irwan

Persatuan Pajak Gadai Islam Malaysia (PEGIM) baru-baru ini mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan 2024 pada 29 Februari 2024 di Dewan Tun Abdul Razak, Menara Kembar Bank Rakyat.

Majlis perasmian mesyuarat tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak. Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat, Haji Mohd Jafri Kudus.

Dalam ucapan perasmiannya, Datuk Mohd Irwan berkata, beliau melihat penubuhan PEGIM adalah sangat relevan dalam memperjuangkan kepentingan industri pajak gadai Islam yang berkembang pesat dalam tempoh lebih tiga dekad di Malaysia.

Beliau yakin pelbagai pengalaman dan kepakaran ahli persatuan ini juga berupaya menyumbang kepada penyelesaian pelbagai isu berbangkit termasuk isu kekuatan dana sebagai modal pusingan perniagaan.

Tambah beliau, “Objektif untuk memperkasakan industri ini bukan hanya bermotifkan keuntungan perniagaan ahli persatuan semata-mata, malah bagi memastikan kelestarian perniagaan turut memberi pelbagai manfaat kepada Masyarakat selain menjadi penyumbang kepada perkembangan ekonomi negara.

PEGIM yang mula ditubuhkan pada 6 September 2016, sebelum ini dikenali sebagai Persatuan Pajak Gadai Islam Kuala Lumpur dan Selangor yang mana dianggotai oleh tujuh buah organisasi. Kini, persatuan ini dikenali sebagai Persatuan Pajak Gadai Islam Malaysia dengan bilangan keahlian sebanyak 38 organisasi yang menjalankan perniagaan pajak gadai Islam.

Objektif penubuhan PEGIM adalah untuk menjaga dan melindungi kepentingan perniagaan ahli persatuan dan industri pajak gadai Islam di Malaysia berasaskan matlamat strategik yang telah disepakati dalam perlembagaan persatuan.

Pemilihan kepimpinan PEGIM penggal 2024/2025 Mesyuarat Agung Tahunan PEGIM 2024 turut mengadakan pemilihan barisan kepimpinan dan ahli jawatankuasa baharu bagi penggal 2024/2025. Keputusan pemilihan menyaksikan pelantikan Haji Mohamad Azwani Asa’d, Ketua Pegawai

Eksekutif Rakyat Management Services Sdn. Bhd. sebagai Pengerusi, manakala wakil Bank Rakyat, Mas Anuar Hashim dipilih sebagai Timbalan Pengerusi.

Jawatan Setiausaha pula disandang oleh Dato’ Haji Abdul Wahab Hamid (Koperasi Dagang Emas) selain wakil koperasi New Straits Times Press (Malaysia) Bhd., Mohd Fadzil Abdul Ghani mengekalkan jawatan Bendahari.

Tiga ahli jawatankuasa lain yang turut dilantik termasuk Peerpulavar E.M Pakeer Mohd (Koperasi Habib Malaysia Bhd.), Wan Farid Imran Wan A. Latif (Maidam Property Sdn. Bhd.) serta Dr. Hajah Jamilah Din (Koperasi Pembangunan Daerah Petaling Bhd.).

Selain itu, dua juruaudit turut dilantik bagi penggal 2024/2025 iaitu Saifuddin Sulaiman, wakil Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Bhd. dan Ahmad Salihen Haji Mohd Helmi yang mewakili Koperasi Pembangunan Tanah Sungei Kelayak Bhd.

Haji Azwani Asa’d yang mengekalkan jawatan Pengerusi PEGIM berkata, beliau akan memberikan tumpuan dalam agenda untuk memperkasakan PEGIM sebagai platform terbaik bagi menyampaikan suara muafakat persatuan kepada pihak berkenaan dalam mencari penyelesaian kepada semua isu berbangkit demi kepentingan perniagaan ahli dan industri amnya.

Beliau juga berharap agar PEGIM terus diperkasakan dengan peningkatan bilangan ahli persatuan. Justeru, beliau berharap agar semua ahli turut mengambil inisiatif dalam mempromosikan keahlian PEGIM dalam kalangan koperasi dan organisasi yang menjalankan perniagaan Ar-Rahnu di negara ini.

(Visited 115 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button