fbpx
Negeri

Sekolah Agama Taman Cempaka, Sekolah Agama Kempas ditutup seminggu

DUA buah sekolah agama iaitu Sekolah Agama Taman Cempaka dan Sekolah Agama Kempas, Johor Bahru, Johor hari ini diarah tutup selama seminggu sehingga 31 Oktober nanti susulan kes terbaharu Covid-19 di kawasan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, penutupan kedua-dua sekolah berkenaan dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Sebuah sekolah ditutup berikutan seorang murid darjah khas disyaki terkena jangkitan daripada ibunya yang positif Covid-19.

“Murid berkenaan telah menjalani ujian swab dan sedang menunggu keputusan ujian manakala sebuah lagi sekolah disaran tutup oleh KKM,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada BERNAMA hari ini.

Beliau berkata, penutupan Sekolah Agama Taman Cempaka membabitkan seramai 1,072 murid dan 17 guru manakala Sekolah Agama Kempas membabitkan 1,790 murid dan 26 guru.


Sementara itu di KOTA BHARU, Kelantan, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mengarahkan semua surau dan masjid di seluruh negeri Kelantan menangguhkan aktiviti kuliah-kuliah agama, berkuatkuasa serta merta hari ini.

Yang Dipertua MAIK yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, penangguhan sehingga 27 Oktober itu termasuk kuliah-kuliah Subuh, Maghrib, Dhuha dan kuliah-kuliah lain dan juga kelas-kelas Al-Quran.

Beliau berkata, perkara itu turut mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang juga sebagai Ketua Agama Islam mengikut peruntukan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan bagi penangguhan kuliah-kuliah agama di masjid seluruh negeri ini.

“Tindakan ini diambil memandangkan berlaku peningkatan kes COVID-19 di seluruh negara termasuk di Kelantan sejak akhir-akhir ini.

“Bagaimanapun, solat fardhu dan solat sunat boleh dilaksanakan seperti biasa dengan mematuhi semua Prosedur Operasi Standard (SOP),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. – SM

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button