Nasional

Santuni anak yatim bukan sekadar rutin Ramadan – Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah mengingatkan bahawa tanggungjawab menyantuni anak yatim bukan sekadar rutin di bulan Ramadan, namun ianya perlulah dilakukan secara konsisten dan berstrategi.

Menurut baginda, tugas sebagai ‘pengganti’ kepada ibu atau ayah bagi seseorang anak yatim itu hendaklah digalas oleh setiap anggota masyarakat mengikut kemampuan.

Demikian titah Tuanku Raja Muda selepas berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pengagihan Sumbangan kepada anak-anak yatim Kariah Masjid Negeri Arau.

Keberangkatan tiba baginda yang diiringi oleh anakanda Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail disambut oleh Imam Besar Negeri Perlis, Hj. Ahmad Sirajuddin Abdul Sattar.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Hj. Mohd Nazim Mohd Noor.

Seramai 48 anak yatim dalam Kariah Masjid Negeri Arau masing-masing menerima sumbangan sebanyak RM250 hasil kutipan Tabung Khas Anak Yatim Masjid Negeri selain turut menerima bantuan pek makanan sumbangan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Yayasan Perlindungan dan Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia (YPKPJM) melalui MAIPs.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merupakan Tuanku Yang DiPertua MAIPs turut berkenan menyampaikan sumbangan aktiviti Ramadan MAIPs kepada semua pusat kebajikan anak yatim di negeri Perlis diwakili Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri, Mohammad Hazam Ismail.

Sumbangan aktiviti Ramadan adalah inisiatif MAIPs dalam menyemarakkan lagi aktiviti penghayatan sepanjang bulan puasa di kalangan para penghuni rumah kebajikan anak yatim negeri Perlis iaitu Pusat Pertubuhan Kebajikan Rumah Anak Yatim Mak Teh Kangar, Pusat Jagaan Hembusan Kasih Arau, Pusat Jagaan Anak Yatim Darul Falah Ummi Aisyah Kangar dan juga Pusat Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Perlis Kompleks Penyayang Tun Dr. Siti Hasmah di Jejawi.

Selain itu, terdapat dua buah lagi pusat anak yatim dan asnaf yang bakal menerima sumbangan aktiviti ramadan iaitu Teratak Rahmat Persatuan Al-Islah Perlis dan Rumah Teduh Kangar.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perllis, Mohammad Hazam Ismail merakamkan penghargaan atas inisiatif MAIPs dalam menyantuni anak yatim selama ini melalui pelbagai program dan bantuan sepanjang tahun seperti Bantuan Persekolahan, Bantuan Serta-merta IPT MAIPs, program turun padang bersama dan sebagainya.

“Penglibatan pihak Istana dan MAIPs melalui Program Jalinan Kasih Anak Yatim pada setiap tahun sentiasa amat dinanti-nantikan dan memberikan keceriaan kepada para penghuni rumah kebajikan anak yatim terbabit ketika menyambut lebaran,” ujar Mohammad Hazam.

(Visited 254 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button