Nasional

Kes rasuah Guan Eng, saksi tak takut ketika SPRM rakam percakapan

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini diberitahu, Pengarah Urusan Ewein Zanith Sdn Bhd (EZCB), Datuk Ewe Swee Kheng, tidak menunjukkan perasaan takut ketika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merakam percakapannya berkaitan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, berhubung projek pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut di negeri itu.

Penolong Penguasa SPRM, Mohamad Hambia, 29, berkata pada 21 Julai 2020, beliau menerima arahan daripada seorang pegawai atasan SPRM untuk merakam percakapan Swee Kheng, 53, dan dua rakaman percakapan ahli perniagaan itu diambil pada 22 dan 24 Julai 2020 di ibu pejabat SPRM, Putrajaya.

“Saksi itu dipanggil untuk datang ke ibu pejabat SPRM dan tiba pada jam 10.30 pagi. Saya kemudian membawa saksi ke bilik rakaman percakapan dan saksi diberikan rakaman percakapan terdahulu untuk dibaca dan diimbas semula, saksi mengakui beliau ingat.

“Saya mula merakam percakapannya pada jam 11 pagi dan ketika rakaman percakapan diambil, saya bertanya kepadanya adakah beliau selesa dan saksi itu menyatakan dia selesa dan rakaman percakapan terus diambil selain saya turut memberi Swee Kheng makan dan minum ketika rakaman percakapan diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Francine Cheryl Rajendram pada perbicaraan kes rasuah Guan Eng yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu bernilai RM6.3 bilion.


Sementara itu, saksi pendakwaan ke-27 itu berkata, selepas rakaman percakapan diambil, beliau meminta Swee Kheng membaca semula dan menurunkan tanda tangannya yang ditulis nama berserta nombor kad pengenalan bagi memenuhi syarat mengikut Seksyen 30 (8) Akta SPRM.

Disoal Francine adakah Swee Kheng diberi peluang meminda rakaman percakapannya, Mohamad menjawab, “Ada, tetapi saksi (Swee Kheng) tidak meminda dan menandatanganinya.”

Kepada soalan adakah Swee Kheng masih hidup, Mohamad menjawab, ‘Swee Kheng sudah meninggal dunia.”

Mendiang Swee Kheng yang sepatutnya dipanggil sebagai saksi pendakwaan ke-15 meninggal dunia selepas dilaporkan terjatuh di sebuah unit kondominium mewah di Jalan Kelawei, Pulau Pinang, pada 5 Oktober 2021.

Bagaimanapun, pada 16 Disember 2021, mahkamah membenarkan rakaman percakapan mendiang Swee Kheng diterima masuk dan ditandakan sebagai eksibit dalam perbicaraan kes rasuah itu.

Ketika disoal balas peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Guan Eng, saksi itu berkata, Swee Kheng dalam rakaman percakapannya juga memberitahu Guan Eng dan ahli keluarganya tidak pernah membeli unit kediaman di City of Dreams.

Guan Eng berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta, dalam membantu Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd, iaitu syarikat milik Zarul Ahmad Mohd Zulkifli mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, Georgetown antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek itu dan dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011.

Guan Eng yang juga bekas Setiausaha Agung DAP itu turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik Kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 23 Jun ini. – BERNAMA

(Visited 69 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button