fbpx


Politik

‘Rupanya saya punca PH tumbang’ Najib jawab tuduhan Tun M

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menyangka bahawa beliau merupakan punca Pakatan Harapan kehilangan kuasa sebagai Kerajaan Persekutuan.

Najib berkata, beliau sendiri tidak tahu bahawa dia adalah punca kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan. Ini kerana seingatnya, beliau tidak pernah turun ke jalan raya untuk menggulingkan kerajaan.

Najib mengulas kenyataan terbaharu bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menuduh beliau sebagai perancang utama sehingga kerajaan pimpinan PH tumbang.

“Rupanya saya adalah punca utama kerajaan PH tumbang. Saya sendiri pun tak tahu. Sekarang saya tahu.

“Tetapi saya tak ingat pun bila saya pernah turun ke jalan raya untuk gulingkan kerajaan.


“Saya main FB pun boleh jatuhkan satu kerajaan ke? Bahaya juga. Lain kali saya main PS4 sudah,” sindir Najib.

Dalam laporan Sinar Harian hari ini, Dr. Mahathir berkata, konspirasi Najib menyebabkan kerajaan PH tumbang.

“Yang betul-betul berkonspirasi ialah Najib. Apabila dia kalah, maka dia dapat idea kalau dia boleh tubuh satu kerajaan Melayu Islam, maka dia akan dapat lebih sokongan orang Melayu dan dia akan menang.

“Sebab itu dia mencuba dengan begitu lama namun pendekatan beliau tidak berkesan dan akhirnya gagal, akhirnya kami yang menang,” kata Dr. Mahathir.

Dr. Mahathir mendakwa, Najib terpaksa melakukan konspirasi demi mendapatkan kuasa secepat mungkin untuk menggelakkan dia dihukum atas kes perbicaraan sekarang.

“Jadi itulah konspirasi mereka, macam mana nak jadi kerajaan setelah kalah dengan meyakinkan ahli-ahli Bersatu untuk menyokongnya dan keluar daripada parti Pakatan Harapan sehingga Pakatan Harapan jatuh. Sekarang ini mereka dah menang,” ujar beliau.

Dalam laporan Sinar itu, Dr. Mahathir berkata,  Najib dan parti Pas terpaksa menggunakan naratif Melayu Islam dan mencari sokongan daripada Bersatu untuk menubuhkan kerajaan Melayu Islam dan menyebarkan dakyah bahawa DAP ‘dianggap sebagai jahat’.

“Kita kena singkirkan DAP, jadi kita kena bekerjasama dengan UMNO. Jadi tiba-tiba orang yang kalah dianggap menang, manakala orang yang menang dikatakan kalah.

“Ini sebenarnya konspirasi siapa, adakah saya? Apa sebab saya perlu melakukan konspirasi kerana saya sudah menjadi Perdana Menteri. Saya ingat saya jadi Perdana Menteri, bila sampai masanya saya akan letak jawatan dan itu tidak menjadi masalah,” tegas Dr. Mahathir.-SM

 

 

 

 

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Penulis mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. 'Kehilangan' jurukamera ketika bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah penulis lupakan.

Related Articles

Back to top button