Nasional

Roti canai RM4 sekeping di Langkawi

SEAKAN-AKAN tidak masuk akal apabila harga sekeping roti canai kosong di sebuah gerai di Langkawi RM4.

Perkara itu berlaku kepada seorang pelancong yang berkunjung ke pulau legenda itu baru-baru ini.

Memetik laporan Kosmo Digital, Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff mendedahkan, aduan berhubung harga roti canai itu diterima pihaknya selepas kejadian harga ikan siakap lebih RM1,000.

Pengadu katanya, mendakwa gerai roti canai di tepi jalan itu mengenakan caj RM4 bagi sekeping roti canai biasa.

“Oleh itu, pihak kami meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah untuk selalu membuat pemeriksaan di premis dan gerai makanan yang mengambil kesempatan menaikkan harga makanan terlalu tinggi,” katanya.


Beliau berkata, sejak dua minggu lalu, lebih 100 aduan pengguna diterima berkaitan kenaikan harga makanan dan bahan mentah di negeri ini.

“Kami nasihatkan peniaga makanan tidak mengenakan harga membebankan pengguna selain meletakkan tanda harga supaya pengguna dapat membuat pilihan sebelum membuat pesanan,” katanya.

Sebelum ini tular apabila percutian sebuah keluarga ke pulau itu meninggalkan memori yang tidak akan dilupakan apabila hidangan tengah hari mereka berjumlah RM 1738.70.

Memetik laporan media, seorang wanita berkongsi gambar bil yang menunjukkan harga ikan siakap seolah-olah tidak masuk akal dan dipercayai sengaja diberi saiz ikan yang besar tanpa pengetahuan pelanggan.

Dalam menu ada tulis RM18 bagi ikan, saya tanya apa? Dia (pekerja) beritahu harga bagi 100 gram ikan. Jadi harga bagi satu kilogram (kg) ikan adalah RM180.

Berdasarkan kata-kata pemilik restoran siakap itu besar, okeylah sebab 10 orang makan tetapi tidak beritahu beratnya mencecah 6kg.

Menurut pengguna tersebut, dia berasa seolah-olah ditipu dan minuman yang dihidangkan iaitu air tembikai yang sangat mengecewakan.

Wanita itu memberitahu, sebaik hidangan sampai, dia terkejut dengan saiz ikan tersebut yang sesuai dimakan oleh dalam kumpulan yang ramai bukannya 10 orang.

Pemilik restoran dalam responnya berkata, pelanggan tersebut yang memilih ikan tersebut walaupun telah diberitahu saiz ikan adalah sangat besar.

Pemilik Restoran Terapung Sas Rimba, Norasyikin Musa berkata, dia sendiri yang mengambil pesanan daripada pelanggan tersebut.

“Saya sudah menerangkan kepada pelanggan bahawa ikan tersebut biasanya tidak dijual, tetapi dibela sebagai salah satu pertunjukan di situ.

“Saya telah mencadangkan pelanggan tersebut untuk mengambil ikan lain seperti siakap merah dan kerapu yang saiznya sekitar satu hingga 1.5 kilogram (kg), yang lebih sesuai untuk dijadikan hidangan,” katanya apabila dihubungi media.

(Visited 203 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button