EkonomiNasionalParlimen

RMK-12: 3 tema 4 pemangkin dasar diperkenalkan – PM

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudahpun membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat pagi tadi.

Beliau berkata, RMK-12 yang dibentangkan adalah perancangan penting sebagai pelengkap kepada Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Katanya, ia juga adalah bagi mengembalikan semula momentum pertumbuhan ekonomi serta mencapai matlamat pembangunan jangka panjang.

“RMK-12 ini, dengan matlamat ‘Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan’ akan membolehkan kita semua menikmati taraf hidup yang lebih baik,” begitulah hasrat yang didambakan oleh Perdana Menteri.

Selain itu, beliau berkata, kita mahu memacu Malaysia ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi serta kalis cabaran pada masa hadapan.

“Namun, pencapaian ini tidak bermakna, jika masih ada Keluarga Malaysia yang terpinggir daripada arus pembangunan,” ujar beliau.

Sehubungan itu, RMK-12 boleh disifatkan sebagai pelan pembangunan menyeluruh yang akan memperkenalkan beberapa pembaharuanbagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan pengagihan peluang dan hasil yang lebih saksama.

“Bagi tujuan ini, tiga tema dan empat Pemangkin Dasar serta 14 Pemacu Perubahan diperkenalkan dalam RMK-12.

“Kerajaan mengambil pendekatan keseluruhan negara, atau whole-of-nation approach yang melibatkan seluruh jentera dan agensi kerajaan, industri serta masyarakat dalam satu misi tunggal untuk melaksanakan pembaharuan,” jelas beliau lagi ketika berucap dalam membentangkan RMK-12.

Menurut Ismail Sabri lagi, tujuan pembaharuan ini bukanlah untuk menjana kekayaan negara semata-mata. Sebaliknya, untuk menangani beberapa cabaran struktur ekonomi, menyediakan tenaga kerja masa hadapan, meningkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia dan merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.

Di samping itu,  katanya, ia juga bagi memastikan pelaksanaan kaedah yang lebih berkesan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Insya-Allah, dengan terlaksananya pembaharuan ini, pada tahun 2025, Malaysia akan menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dan mempunyai kualiti hidup yang lebih baik dan berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi,” katanya.

Secara terperincinya, Ismail Sabri turut memperincikan beberapa matlamat utama dalam tempoh RMK-12:

  • Pertama: Pertumbuhan KDNK disasarkan pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus setahun dalam tempoh 2021-2025;
  • Kedua: Purata pendapatan isi rumah dianggarkan sebanyak kira-kira 10 ribu ringgit sebulan pada tahun 2025;
  • Ketiga: Jurang KDNK per kapita antara Wilayah Tengah dan Sabah dikurangkan kepada 1 nisbah 2.5, manakala bagi Sarawak dikurangkan kepada 1 nisbah 1.2 pada tahun 2025 dan
  • Keempat: Pengurangan intensiti pelepasan gas rumah kaca atau Green House Gas (GHG) sebanyak 45 peratus kepada KDNK pada tahun 2030 berdasarkan intensiti pelepasan pada tahun 2005, sejajar dengan Perjanjian Paris 2015.

Seterusnya, Perdana Menteri turut memberi pencerahan kepada sembilan fokus utama RMKe-12 seperti berikut:

Pertama ialah Merancakkan Pertumbuhan Ekonomi;

Kedua ialah Memperkukuh Pemangkin Pertumbuhan;

Ketiga ialah Meningkatkan Kesejahteraan Keluarga Malaysia;

Keempat ialah Memantapkan Keselamatan dan Ketenteraman Awam;

Kelima ialah Membasmi Kemiskinan Tegar dan Merapatkan Jurang Pendapatan;

Keenam ialah Memperkasa Agenda Bumiputera dan Keluarga Malaysia;

Ketujuh ialah Melonjakkan Pembangunan Sabah, Sarawak dan Negeri-Negeri Kurang Membangun;

Kelapan ialah Mempercepat Pertumbuhan Hijau; dan akhir sekali
Kesembilan ialah Meningkatkan Kecekapan Penyampaian Perkhidmatan Awam dan Memastikan Pelaksanaan Dasar yang Berkesan. – SM

 

(Visited 724 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button