Nasional

Belanjawan 2021 perkasa usaha perangi COVID-19

KETUA Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah meluahkan penghargaan atas keprihatinan kerajaan yang memperuntukkan tambahan RM1 bilion lagi untuk memerangi Covid-19 pada tahun depan.

Beliau berkata dalam mendepani krisis pandemik Covid-19 yang disifatkan sebagai tidak pernah terjadi sebelum ini, negara khususnya Kementerian Kesihatan (KKM) memerlukan penyelesaian yang luar biasa.

Katanya peruntukan lain yang turut diumumkan bagi sektor perkhidmatan kesihatan awam juga amat ditunggu-tunggu.

“KKM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas keprihatinan kerajaan melalui pembentangan Belanjawan 2021 sebentar tadi. RM1 bilion tambahan diberikan kepada KKM untuk kesiapsiagaan memerangi Covid-19, Alhamdulilah.

“Peruntukan RM90 juta untuk vaksin pneumokokal kepada 500,000 kanak-kanak melalui Program Imunisasi Kebangsaan sememangnya sesuatu yang amat dinanti-nantikan,” katanya dalam hantaran Twitter malam ini.

Menerusi Belanjawan 2021 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, kerajaan memperuntukkan RM1 bilion lagi pada tahun depan untuk membendung gelombang ketiga Covid-19, merangkumi RM475 juta bagi pembelian bekalan reagen, kit saringan dan bahan guna habis.

Sebanyak RM318 juta diperuntukkan untuk penyediaan peralatan perlindungan diri dan pensanitasi tangan kepada petugas barisan hadapan KKM serta  pemberian one-off sebanyak RM500 sebagai menghargai jasa mereka dan dijangka memanfaatkan 100,000 petugas kesihatan. – BERNAMA

(Visited 96 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button