Politik

GPS desak Anwar henti main politik tidak matang

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa berhenti daripada bermain politik tidak matang kerana dipercayai memberi kesan buruk kepada negara.

Ini susulan pengumuman tergempar dilakukan Ketua Pembangkang itu bahawa beliau memperoleh sokongan majoriti untuk jadi Perdana Menteri.

Malah dakwanya sokongan yang diperolehi daripada Ahli Parlimen lebih besar berbanding majoriti tipis Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Oleh demikian Gabungan Parti Sarawak (GPS) menolak sebarang kaitan dengan PKR dan meminta Anwar menghentikan permainan politik ini.

“Selaku Setiausaha Agung GPS dan PBB, saya ingin mengingatkan Anwar agar menghentikan permainan politik tidak matang demi mencapai kepentingan dan cita-cita peribadi.

“Anwar seharusnya menghentikan sebarang cubaan untuk mewujudkan ketidakstabilan di dalam negara yang hanya akan memberi kesan buruk kepada rakyat dan ekonomi.

“GPS masih kekal memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinan
Muhyiddin Yassin.

“Kami kekal berpegang teguh kepada prinsip perlunya sebuah
kerajaan Persekutuan yang stabil demi kebaikan rakyat dan
ekonomi negara.

“Tambahan pula ketika negara sedang berperang dengan penularan wabak Covid-19 dan fokus sepenuhnya ditumpukan dalam memulihkan ekonomi rakyat dan negara.”

Demikian kata Setiausaha Agung GPS, Datuk Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan hari ini membantah tindakan Ahli Parlimen Port Dickson itu.

Beliau dalam pada itu menggesa semua pihak khususnya pembangkang fokus membantu negara dalam menangani isu yang lebih penting.

Seperti Koronavirus (Covid-19) dan pemulihan semula ekonomi terimpak daripada wabak pandemik itu yang turut memberi kesan secara global.

“Kepentingan rakyat dan negara pada ketika kita sedang menghadapi cabaran penularan wabak Covid-19 yang telah meragut ribuan nyawa di seluruh dunia, perlu diberi keutamaan,” katanya.

Dalam kenyataan sama juga, Alexander Nanta turut mengecam pihak yang pernah melemparkan tuduhan kepada GPS dan Sarawak untuk diangkat menjadi kerajaan.

“GPS sekali lagi menegaskan bahawa parti ini menolak sekerasnya PKR yang bersekutu dengan pihak tidak bertanggungjawab dan angkuh.

“Melemparkan tuduhan bahawa Negeri Sarawak akan bankrap di bawah kepimpinan GPS.

“Sarawak, yang diterajui oleh Datuk Abang Johari Abang Openg sebagai Ketua Menteri akan terus memberi sokongan penuh kepada Muhyiddin.

“Sokongan juga kepada Abang Johari dapat membawa banyak kebaikan kepada kerajaan Persekutuan dan Sarawak,” tegasnya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Port Dickson itu mengadakan sidang akhbar mendakwa mendapat perkenan untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong.

Anwar dalam sidang akhbar tersebut memaklumkan beliau sepatutnya mengadap As Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah semalam.

Bagaimanapun pertemuan tersebut ditangguhkan selepas baginda dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) semalam bagi mendapatkan rawatan.

Untuk rekod, Anwar dalam sidang akhbar itu hanya ditemani isterinya Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. – SM

(Visited 140 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button