Nasionalpilihan

Riuh Nau! bantu memartabatkan industri kreatif negara

Kembara Riuh Keluarga Malaysia yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOM) adalahusaha untuk membantu pengiat industri kreatif yang terkesan teruk sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik Covid-19.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, karnival dikenali Riuh Nau! itu dilihat mampu menghidupkan semula kegemilangan industri kreatif yang tidak dapat menjalankan kerja-kerja mereka sehingga mengalami pengucupan sewaktu penularan Covid-19.

Menurutnya, industri berkenaan sebenarnya memberi sumbangan yang sangat besar kepada Keluaran Negara Kasar (KDNK) selain menyediakan banyak peluang pekerjaan dan menarik pelaburan dari luar negara.

“Kita tahu industri kreatif di serata dunia memainkan peranan yang cukup besar selain ia juga menghidupkan seni dan warisan negara serta memainkan peranan dalam pembinaan negara.

“Riuh Nau di bumi Melaka jelas membuktikan bagaimana warisan sejarah terutama industri kreatif yang subur sejak zaman berzaman serta mewujudkan pembentukan sebuah negara Malaysia,” ujarnya.


Annuar Musa berucap pada majlis perasmian Kembara Riuh Keluarga Malaysia Edisi Ketiga: Riuh Nau! di Dataran Pahlawan. Bandar Hilir, Melaka

Beliau berucap pada majlis pelancaran Kembara Riuh Keluarga Malaysia Edisi Ketiga: Riuh Nau! di Dataran Pahlawan. Bandar Hilir, Melaka malam tadi.

Majlis perasmian edisi ketiga telah disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali yang turut dihadiri Pengerusi Kanan Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Ab. Rauf Yusoh dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Majlis perasmian diserikan dengan persembahan beberapa artis terkenal tanah air melalui konsert mini seperti Amy Search, Ruffedge, Merakki, Monoloque dan 1 Drum.

Mengulas lanjut Annuar berkata, usaha K-KOMM menganjurkan Kembara Riuh bertujuan bukan sahaja untuk menghidupkan industri kreatif di Kuala Lumpur semata-mata tetapi menjelajah dari satu negeri ke negeri lain.

Beliau menambah sejak negara masuk fasa endemik usaha giat dilakukan untuk mencungkil bakat-bakat baharu dalam industri kreatif dalam pelbagai bidang di seluruh negara.

Jelasnya, beliau berharap industri berkenaan akan berkembang semula seperti sebelum ini tidak seperti yang berlaku sewaktu PKP yang lalu.

Kembara Riuh Keluarga Malaysia dapat menghimpunkan usahawan kreatif dan penggiat seni tempatan di samping dapat mewujudkan peluang pekerjaan di 14 lokasi seluruh negara.

Kembara Riuh Keluarga Malaysia adalah edisi ke-3, yang berlangsung selama tiga hari di Dataran Pahlawan di sini selepas diadakan di Johor dan Sabah.

Karnival dikenali Riuh Nau! itu bertujuan mempromosi dan mengetengahkan industri kreatif hasil kerja artis tempatan dalam usaha memulihkan industri kreatif negara susulan pandemik Covid-19.

Program anjuran MyCreative, sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) itu, menjadi cerminan keprihatinan dan komitmen kerajaan melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif yang merancakkan kembali sektor berkenaan.

Karnival terbabit akan menempatkan pentas utama, gerai pop-up, peniaga makanan dan minuman, pameran
seni, aktiviti kreatif dan pameran daripada agensi-agensi di bawah K-KOMM.

Selain itu, turut diadakan bengkel pembuatan tembikar dan jubin, bengkel membuat pemegang kad kulit,
demonstrasi kasut manik peranakan, bengkel kayu guna semua dan bengkel serta demontrasi gasing.

Pameran seni oleh Melaka In Fact pula akan memaparkan pameran bertemakan ‘outdoor’ yang mempamerkan sejarah Melaka sebagai bandar perdagangan selain seni mural komuniti di mana pengunjung dapatmenghasilkan definisi ‘muka’ bagi mereka. -SM

(Visited 26 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button