Nasional

TKR Manufacturing rancang pelaburan baharu di Melaka

Sebuah syarikat elektronik dari Jepun, TKR Manufacturing (Malaysia) Sdn. Bhd. yang sudah bertapak selama 34 tahun di kawasan Perindustrian Tangga Batu di sini merancang untuk menambah pelaburan baharu di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Ab. Rauf Yusoh berkata, pelaburan baharu yang dirancang oleh syarikat yang berpengkalan di Tokyo itu bertujuan untuk mengembangkan lagi sayapnya terus menjadikan Melaka sebagai destinasi pelaburan utama.

Menurutnya, syarikat berkenaan yang berjaya memperoleh hasil pendapatan RM360 juta setahun itu merancang untuk menambah produk pengeluaran yang sedia selepas mendapat kepercayaan daripada jenama-jenama besar bagi mengembangkan lagi produk bagi memenuhi permintaan yang terus meningkat setiap tahun.

“Mereka telah buat perancangan awal untuk membawa pelaburan baharu yang jumlah sebenar pelaburan akan diumumkan tidak lama lagi.

“Yang pasti menerusi pelaburan baharu itu mereka akan membuka kilang baharu dan turut menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk di negeri ini khususnya di Tangga Batu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengiringi Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam mengadakan lawatan kerja di kilang tersebut kawasan Perindustriaan Tangga Batu, Melaka hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi dan Pengarah Urusan yang baharu dilantik, N. Paul.

Mengulas lanjut Ab. Rauf berkata, TKR Manufacturing telah membuktikan mereka sebagai sebuah syarikat yang berdaya maju apabila mampu bertahan selama 34 tahun di negeri ini.

Menurutnya, syarikat tersebut juga sedang menuju ke arah Revolusi Industri 4.0 dengan mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran pekerja tempatan.

Beliau berkata, syarikat itu juga telah memberi kepercayaan kepada anak tempatan yang dilantik sebagai Pengarah Urusan yang baharu pada 1 April lalu.

Beliau berkata, syarikat itu mempunyai seramai 1,700 pekerja di mana 1,190 adalah pekerja tempatan dan 510 pula adalah pekerja asing.

Untuk rekod TKR mempunyai kebolehan memproduksi pelbagai produk bermula daripada rekabentuk, acuan plastik, mengecap, pemasangan papan litar bercetak hingga ke penghasilan produk lengkap.-SM

(Visited 578 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button