NasionalNegeri

Raja, Raja Perempuan selamat kembali bersemayam di Perlis

RAJA Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid telah selamat kembali dan bersemayam di Perlis, petang semalam).

Sebelum ini Baginda berdua bersemayam di Kuala Lumpur sejak 27 Mac lalu bagi membolehkan Raja Perlis menjalani pembedahan kaki dan buku lali sebelah kanan yang selamat dilaksanakan di Hospital Putrajaya pada 1 April lalu.

Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid berkenan diiringi Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen (belakang) sebaik keberangkatan tiba di Lapangan Terbang Alor Setar. – Gambar Ihsan Istana Arau

Seterusnya Baginda meneruskan proses pemulihan dan pemeriksaan susulan di Istana Perlis di Kuala Lumpur.

Sepanjang tempoh tersebut dari 28 Mac sehingga 27 Ogos lalu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dilantik sebagai Pemangku Raja Perlis oleh Tuanku Syed Sirajuddin.

Raja dan Raja Perempuan mendarat dengan pesawat Penerbangan Malaysia MH1208 pada pukul 2.20 petang semalam di Lapangan Terbang Alor Setar.

Baginda berdua disambut oleh Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli serta para kenamaan negeri.

Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid berkenan menerima sembah mengadap para kenamaan sebaik sahaja berangkat tiba di Lapangan Terbang Alor Setar, petang semalam. – Gambar Ihsan Istana Arau

Raja Perempuan semasa bertitah kepada sekalian yang hadir, Baginda berdua bersyukur kehadrat Allah SWT kerana rawatan pembedahan yang dijalani oleh Raja telah pun berjaya dilaksanakan dengan lancar dan sempurna.

“Walaupun kadangkala terdetik rasa resah dan gelisah di hati sepanjang proses rawatan, saya berasa amat tenang dan sukacita dengan adanya sokongan daripada ahli keluarga dan rakan taulan yang saya kasihi”, titah Baginda.

Raja Perempuan menzahirkan ucapan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Perlis di bawah kepimpinan Menteri Besar, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk seluruh warganya yang terbabit dan juga semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung
dalam menguruskan segala urusan Baginda sepanjang bersemayam di Kuala Lumpur.

Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid berkenan menerima sembah mengadap para kenamaan sebaik sahaja berangkat tiba di Lapangan Terbang Alor Setar, petang semalam. – Gambar Ihsan Istana Arau

Baginda berdua turut menzahirkan ucapan berbanyak terima kasih kepada seluruh rakyat yang dikasihi kerana tidak putus-putus mendoakan kesembuhan dan kesihatan ke atas Tuanku Raja sepanjang menjalani rawatan kali ini.

“Sesungguhnya hanya Allah sajalah yang dapat membalas setiap titipan doa yang diucapkan” titah Raja Perempuan.

Baginda berdua mendoakan agar kita semua sentiasa dikurniakan kesihatan dan kebahagiaan yang berterusan dalam kita meneruskan kehidupan di bumi Allah ini. – SM

BACA Raja Perlis berkenan terima ziarah Konsul Kehormat Malaysia di Basel

BACA Raja Perlis berangkat Santapan Malam Ulang Tahun Baginda Ke-80

(Visited 123 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button