Negeri

Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis rasmi View Point, Wang Kelian

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyempurnakan perasmian ‘View Point, Wang Kelian’ Kaki Bukit yang dibangunkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perlis pada ahad pagi.

Baginda berdua diiringi sama oleh anakanda sulung, Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri, Awang Shafie Awang Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Hadir sama ialah beberapa barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda berkenan berjalan kaki naik ke puncak bukit tersebut pada ketinggian 304 meter (M.S.L.) dan kemudiannya berjalan turun kembali sejauh 5.5 km bagi memberi galakkan kepada inisiatif ‘Rakyat Perlis Hidup Aktif, Bersukan dan Bersenam’. Wang Kelian View Point yang mempunyai pemandangan panorama yang indah, udara yang nyaman, sentiasa tenang dan jauh daripada hiruk pikuk kehidupan bandar selain popular sebagai satu lagi destinasi pelancongan popular di sini juga merupakan lokasi pilihan bagi para pengemar aktiviti berjalan kaki, berlari dan juga berbasikal khususnya pada pagi hujung-hujung minggu.

Sempena program tersebut juga baginda menyerahkan secara simbolik khemah-khemah dan juga apron berlogo Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada 12 orang pengusaha gerai yang terlibat dalam ‘Program Peningkatan Sosio Ekonomi Asnaf – Wang Kelian View Point Business Centre’ berkenaan.

Sebelum mengakhiri majlis, baginda berdua menyaksikan penyerahan ‘Surat Kebenaran Jabatan Perhutanan Negeri’ kepada 12 usahawan asnaf terbabit dan juga penyampaian ‘Surat Niat Kerjasama Latihan Usahawan Asnaf Secara Bersama Di Antara Majlis Amanah Rakyat (MARA) Dengan MAIPs’.

(Visited 750 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.
Back to top button