Nasional

Pukul kerana puasa: Kenyataan barbaur ugutan untuk perang boleh dikenakan tindakan

Beberapa video tular yang memaparkan kenyataan berbaur ugutan untuk mengisytiharkan perang susulan kes pukul dua pengawal peribadi kerana berpuasa boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya telah mengesan beberapa video klip yang dimuat naik di pelbagai platform media sosial.

“Video tersebut menggesa supaya tindakan setimpal diambil terhadap suspek yang memukul dua orang pengawal peribadi kerana berpuasa.

“Selain itu, terdapat beberapa gesaan yang berbaur ugutan daripada pihak tertentu untuk mengisytiharkan perang dan mengepung kawasan Klang.

“Kenyataan yang sebegini, boleh mengeruhkan keadaan serta menjejaskan ketenteraman awam dan boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Arjunaidi mengesahkan bahawa sebanyak lima orang telah ditangkap bagi membantu siasasan.

Ujarnya, daripada jumlah tersebut, empat telah ditahan di Klang Selatan manakala seorang lagi di Dang Wangi.

“Kesemua suspek telah ditahan reman antara lima hari hingga tujuh hari,” katanya.

Tambahnya, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan sesuatu berita dari sumber yang tidak sahih.

Pihak Polis menggesa dan menasihatkan masyarakat di luar sana agar tidak mengambil undang-undang di tangan sendiri dan mengeruhkan keadaan. -SM

(Visited 410 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button