NasionalNegeriPendidikanUncategorized

UniMAP universiti pertama jalani penyelidikan IMAT

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melakar sejarah apabila menjadi universiti pertama di negara ini menjalankan penyelidikan menggunakan Imaging and Materials Science and Engineering (IMAT).

Kejayaan ini hasil kerjasama dengan STFC Rutherford Appleton Laboratory, Oxford yang dimiliki oleh Science and Technology Facilities Council dibawah UK Research and Innovation (UKRI) bagi mengkaji bahan yang digunakan dalam kenderaan elektrik.

Sekaligus ia mampu merealisasikan hasrat negara untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau di mana pengangkutan merupakan satu daripada enam sektor utama seperti dinyatakan melalui Pelan Utama Teknologi Hijau.

Ketua Penyelidik, Prof. Madya Dr. Mohd Arif Anuar Mohd Salleh berkata, penyelidikan IMAT digunakan bagi memberi fokus kepada pautan lemah dalam elektronik yang digunakan dalam kenderaan elektrik.

“Pautan lemah tersebut merujuk kepada sambungan pateri di mana kami akan membina bahan pateri baharu untuk digunakan dalam kenderaan elektrik kerana bahan pateri konvensional mengandungi plumbum yang merupakan toksik,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, untuk menggantikan bahan konvensional ini dengan bahan tahan suhu tinggi adalah sesuatu yang mencabar,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Tambah beliau, hasil kerjasama bersama Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah yang merupakan penyelidik daripada Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Kimia, UniMAP telah menghasil bahan komposit dengan memasukkan geopolimer seramik sebagai penguat dalam bahan pateri.

“Pembuatan seramik ini hanya memerlukan suhu rendah dalam pembuatannya tetapi hasilnya, pateri komposit ini stabil walaupun dalam suhu tinggi dan ini dapat dilihat dalam penggunaannya,” katanya.

Tambahnya, bahan komposit baharu ini sepatutnya lebih tahan retak untuk beroperasi dalam kenderaan walaupun dalam persekitaran yang lasak dan membolehkan jangka hayatnya lebih lama serta mengurangkan tenaga dan bahan digunakan dalam elektronik.

Dr. Mohd Arif berkata, kumpulan penyelidiknya juga berkesempatan untuk bekerjasama dengan ISIS Neutron and Muon Source untuk mengkaji unsur-unsur lebih ringan dalam bahan seramik.

Malah katanya, ISIS telah menawarkan penyelesaian ideal dengan mengkaji bahan seramik dan menggabungkan ia dengan logam dalam bahan pateri.

Katanya, semasa sekatan COVID-19, pihaknya menghantar beberapa sampel untuk diukur oleh saintis Anna Fedrigo dan Winfried Kockelmann di mana keputusan bagi pengukuran ini telah menunjukkan saiz liang berbeza yang terbentuk dalam seramik disebabkan oleh suhu pengeluaran yang berbeza.

“Kami berharap untuk menyambung kajian mengenai kesan menggunakan kaedah fabrikasi berbeza terhadap struktur seramik dan juga kesan kepada bahan pateri mengambil kira penggunaan bahan seramik di dalamnya,” katanya.

Dr. Mohd Arif juga menjelaskan dana bagi penyelidikan ini dibiayai oleh Newton melalui perjanjian Malaysia – British Council selain turut ditaja oleh Perjanjian Penyelidikan Trilateral COP’26 antara British Council, Jepun dan Malaysia melalui projek Go-GREEN: Next Generation Solder Materials For Power Electronics and Green Electric Transport.

Katanya, Dana Newton – Ungku Omar yang ditubuhkan pada 2014 adalah perkongsian antara United Kingdom dan Malaysia bagi mempromosikan kemakmuran dan kesejahteraan masyarakat Malaysia melalui penyelidikan asas dan translasi serta membina kapasiti aktiviti.

“Penajaan ini membolehkan kami membantu pelajar Ijazah Kedoktoran dan siswazah kedoktoran kami. Malah kami juga bekerjasama rapat dengan industri melalui jaringan kolaborasi bersama Nihon Superior Co. Ltd. sebuah syarikat pateri Jepun yang besar dengan sasaran untuk membangunkan aloi pateri baharu.

“Penyelidikan ini hanya permulaan, kami berharap untuk membina penyelidikan tomografi dan seterusnya memperluaskan penyelidikan ini. Ditambah pula, dengan kepelbagaian IMAT yang boleh diakses secara dalam talian akan membantu teknik gabungan eksperimen untuk penyelidikan bahan kami,” katanya. – SM

(Visited 231 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button