Ekonomi

Public Bank, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad beri pembiayaan RM1 bilion kepada PKS

Public Bank Berhad akan memberi pembiayaan bernilai RM1 bilion kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi kerjasama strategik dengan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP), sebuah agensi di bawah Kementerian
Kewangan.

Pembiayaan bernilai RM1 bilion itu akan meliputi kesemua skim kewangan yang dijamin oleh SJPP seperti Skim Jaminan Modal Kerja (WCQS), Skim Jaminan Kerajaan PEMULIH (PGGS) dan lain-lain.

Semasa berucap pada majlis khas bagi menandakan kerjasama strategik dengan SJPP di Menara Public Bank hari ini, Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Dr. Tay Ah Lek berkata kerjasama itu akan meningkatkan lagi akses PKS kepada pembiayaan.

“Dengan pendedahan domestik yang besar sebanyak RM67 bilion untuk pemberian pinjaman komersial berasaskan PKS pada akhir tahun 2022, yang bersamaan dengan 18.6% bahagian pasaran industri, Public Bank terus komited untuk membantu segmen PKS untuk maju, berkembang dan terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Datuk Chang Kat Kiam, Ketua Pegawai Eksekutif SJPP, Juanita Rusmini Abdul Jalil dan Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Skim Jaminan) Azlan Mohd Agel dan para pegawai kanan kedua-dua organisasi.

Pada majlis itu, Public Bank turut mengumumkan penyertaannya dalam ‘Skim Jaminan Kerajaan MADANI (GGSM)’.

Skim GGSM itu merupakan jaminan skim pembiayaan terbaharu yang bertujuan untuk memberi nafas baharu kepada perniagaan PKS dan syarikat bersaiz pertengahan Malaysia yang layak, dengan tumpuan khusus kepada syarikat yang terlibat dalam empat sektor ekonomi iaitu Teknologi Tinggi, Pertanian, Pembuatan dan Pelancongan.

Pertubuhan perniagaan yang layak daripada empat sektor tumpuan ini akan dapat meraih manfaat daripada perlindungan jaminan SJPP yang lebih tinggi sehingga 90 peratus dan fi jaminan serendah 0.50 peratus.

Selain itu, Public Bank dan SJPP juga sedang bekerjsama untuk membangunkan skim pembiayaan yang menumpukan pada Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) untuk menggalakkan PKS supaya melibatkan diri dalam amalan terbaik kelestarian.

“Kerjasama baharu dengan SJPP ini bertujuan untuk menyokong tuntutan masyarakat perniagaan yang semakin meningkat untuk produk dan penyelesaian berkaitan ESG yang sejajar dengan pendekatan proaktif Public Bank dalam menyokong peluang pertumbuhan yang dibawa dengan aspirasi negara untuk membangun dan mengubah ke arah ekonomi yang berpacukan digital dan kelestarian,” ujar Ah Lek.

(Visited 287 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button