Ekonomi

Program BizFrancais Sabah bantu perkasa usahawan setempat

PERBADANAN Nasional Berhad (Pernas), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan & Koperasi (MEDAC) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) memperhebatkan usaha bagi membantu usahawan-usahawan Negeri Di Bawah Bayu itu dengan penganjuran Program BizFrancais Sabah.

Program yang berlangsung di Dewan Serbaguna Libaran, Sandakan ini merupakan lokasi pertama bagi siri jelajah Program BizFrancais pada tahun 2021. Pada tahun ini, Program BizFrancais akan diadakan di dua (2) lokasi iaitu Sandakan, Sabah dan Johor. Pernas telah menganjurkan lapan (8) siri program BizFrancais yang diperkenalkan pada tahun 2019 termasuk di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Kelantan, Langkawi, Johor, Sabah dan Sarawak.

Menurut YB Datuk Haji Zakaria bin Haji Mohd Edris, Pengerusi Pernas dan juga merupakan Ahli Parlimen Libaran berkata, “Pernas telah meluluskan sebanyak RM7.7 juta pembiayaan susulan daripada penganjuran program BizFrancais di lapan (8) lokasi tersebut. Manakala, untuk program pada hari ini, Pernas menyasarkan potensi pembiayaan sebanyak RM2.97 juta.”

Bermula pada tahun 2017 sehingga kini, Pernas telah membiaya sebanyak RM5.38 juta kepada para usahawan di Sabah.

Selain itu, beliau turut menambah program ini merupakan satu bentuk usaha sama yang baik bagi memperkasakan lagi usahawan setempat dengan menceburi perniagaan francais serta membantu meningkatkan taraf sosio ekonomi tempatan melalui program Business In Transformation (BIT) yang menggalakkan peniaga-peniaga PKS untuk mengembangkan perniagaan mereka melalui sistem francais.   Penganjuran program ini adalah selari dengan fokus Kementerian Pembangunan Usahawan & Koperasi (MEDAC) yang mahu melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaing tahan seterusnya memperkasa ekonomi yang makmur dan mampan.

Program BizFrancais Sabah ini berjaya menarik minat seramai lebih daripada 250 peserta dari kalangan usahawan, bakal usahawan dan orang awam yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ilmu keusahawanan terutamanya dalam bidang francais dan bantuan yang ditawarkan oleh Pernas. Program ini merupakan inisiatif Pernas bagi pembentukan usahawan yang komprehensif dengan membantu usahawan dan bakal usahawan bagi mencari peluang menceburi bidang perniagaan khususnya perniagaan francais.

Program selama satu (1) hari ini meliputi sesi perkongsian ilmu daripada usahawan francais, taklimat dari agensi kerajaan seperti Pernas, MPS dan PERKESO serta klinik perniagaan bersama jenama francais, pra-francais dan jenama di bawah program Business In Transformation (BIT) iaitu sebuah program transformasi perniagaan usahawan kecil bagi menyediakan perniagaan yang dijalankan ke arah francais yang diselia oleh Pernas.

Program ini turut mengumpulkan jenama-jenama francais dan pra-francais di bawah satu bumbung dan memberi peluang kepada peserta yang hadir bagi mendapatkan input serta meneroka potensi bidang perniagaan francais. Terdapat 21 jenama yang turut menyertai program hari ini termasuklah jenama francais terkemuka seperti Marrybrown, Mok Corner, Gloria Jean’s Coffees, Polperro, Lesong Mart. Tidak terkecuali usahawan tempatan yang lahir dari Program BIT Pernas seperti Cendol Ina, Alap-Alap, Rollie Cafe dan banyak lagi.

Turut hadir pada program tersebut ialah YBrs. Puan Faridah Giau, Timbalan Presiden 1, MPS, YBrs. Encik Mohd Hilaluddin Abd Shukor, Ketua Pegawai Eksekutif Pernas dan YBrs En Mazlan Ibrahim, Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Francais, Pernas. – SM

(Visited 362 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button