Politik

PRN: BN tanding 45 peratus kerusi DUN, PH 55 peratus – Ahmad Zahid

CHUKAI, 1 Julai – Barisan Nasional (BN) dijangka bertanding 45 peratus daripada 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri yang akan mengadakan pilihan raya negeri (PRN), manakala selebihnya akan ditandingi oleh Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan itu dibuat, berdasarkan kedudukan semasa kerusi yang dimenangi oleh BN dan PH, pada pilihan raya umum yang lepas.

“Ini berdasarkan kepada kerusi (DUN) yang sedia ada, yang dimenangi oleh PH… Sebab itu peratus itu lebih kepada parti komponen dalam PH.

“Kita akan umum statistik (sebenar) apabila keputusan terakhir dimuktamadkan,” katanya kepada pemberita selepas hadir Majlis Korban Perdana dan Jamuan Rakyat BN di Pantai Penunjuk dekat sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata BN akan bertanding lebih 100 kerusi DUN dan keputusan akhir akan dibuat oleh beliau dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam masa terdekat.

PRN akan datang membabitkan 36 DUN di Kedah, Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36).

“Saya dan perdana menteri akan berbincang buat kali terakhir pada minggu hadapan bagi seluruh enam negeri… kawasan bertindih juga kita telah dapat selesaikan.

“Insya-Allah lepas ni kita akan selesaikan pula tentang calon bagi kerusi yang diperuntukkan kepada BN dan PH. Biro politik telah ambil keputusan, setiap DUN, pihak perhubungan negeri akan kemuka sekurang-kurangnya tiga calon,” katanya.

Ahmad Zahid berkata setiap calon bukan sahaja akan melalui saringan daripada aspek boleh menang, malah penelitian akan turut dibuat di peringkat Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta Mahkamah Syariah.

“Kita akan lakukan saringan bukan hanya dari segi kebolehmenangan, kebolehterimaan dan bagaimana pengundi beri dukungan kepada calon-calon.

“Apabila senarai pendek telah dibuat, kita akan buat juga saringan kesihatan bagi menentukan setiap calon bersih dari segi lahiriah, fizikal dan mempunyai tahap kesihatan yang baik,” katanya.

Mengenai kriteria pemilihan calon, beliau berkata golongan muda menjadi antara elemen utama dalam pemilihan calon, bagi membuktikan bahawa kerajaan BN-PH mendengar denyut nadi pengundi muda.

“Kita lihat daripada PRN Melaka dan Johor, memperlihatkan kebolehmenangan muka baharu telah terbukti… Ini memperlihatkan cita rasa terutama pengundi baharu dalam kalangan umur 40 ke bawah, terutama usia 18, 19 dan 20 tahun.

“Mereka mahu cita rasa dan denyut nadi mereka (golongan muda) diambil keprihatinan oleh parti yang akan memerintah nanti. Dalam perkara ini BN khususnya UMNO kira ini elemen penting untuk raih kemenangan di DUN,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid memaklumkan pelancaran jentera parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan akan bermula pada 7 Julai ini di Selangor, diikuti negeri-negeri lain.

Beliau berkata secara dasarnya, tarikh serta tentatif program telah ada dan akan dipanjangkan kepada setiap badan perhubungan negeri untuk tindakan persediaan.
– BERNAMA

(Visited 242 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button