Politik

MIC nafi kaitan dengan klip video TikTok wanita menari seksi yang tular

PRESIDEN MIC, Tan Sri SA Vigneswaran menafikan sekeras-kerasnya parti itu ada kaitan dengan satu klip video TikTok seorang wanita bersari menari seksi mengikut rentak lagu Tamil.

Di dalam klip video TikTok itu, turut dipaparkan logo parti MIC di bahagian atas klip video berkenaan meminta orang ramai mengundi Barisan Nasional (BN).

Vigneswaran berkata, wanita dalam video itu bukan ahli MIC dan beliau menegaskan bahawa berkempen untuk pilihan raya dengan cara sebegitu bukan langkah yang bijak bagi parti.

“Ia suatu penghinaan kepada kecerdikan kita jika ada ahli berbuat demikian. Jelas ini cubaan oleh musuh kami untuk mencemarkan nama parti dengan klip TikTok.

“Saya tidak mahu menamakan sesiapa secara membuta tuli namun taktik murahan seperti ini hanya menunjukkan ia datang dari musuh politik kami,” katanya kepada FMT.

Dalam klip berdurasi satu minit itu, wanita yang menggunakan nama “gayathrimoorthioficial2” di Tiktok berpakaian seksi dengan bahagian tengah dan belakang busana itu terdedah sambil menari seksi mengikut rentak lagu.

Pada bahagian atas klip itu, terpapar logo MIC dan logo BN bersebelahan tanda pangkah manakala tertera “Tetap BN’ pada dua logo kecil.

Vigneswaran berkata, mungkin bukan wanita itu yang meletakkan logo MIC dan BN pada video tersebut tetapi seteru politik lain yang menindihkan imej tersebut pada video itu memandangkan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) sudah hampir.

“MIC tidak akan menggunakan kempen publisiti murahan dan taktik kotor sebegitu,” katanya.

Katanya lagi, masa depan negara dan kesejahteraan rakyat menjadi taruhan pada PRU15 ini.

“Sehubungan itu, kami sedang berusaha keras mempertahankan komuniti India dan membantu mereka. Kami tidak terjebak dalam perkara mengarut seperti itu,” katanya. – SM

(Visited 368 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button