Nasional

PM tidak sentuh isu KWSP, moratorium dalam PKP2.0

ISU mengenai pengeluaran wang daripada Kumpulan Wang Simapan Pekerja (KWSP) dan moratorium pinjaman tidak disentuh dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Hal ini tidak seperti dilakukan seperti kali pertama PKP dilaksanakan pada 18 Mac 2020 bagi memastikan rakyat mempunyai akses kewangan sepanjang tempoh tersebut.

Perkara itu sememangnya membimbangkan rakyat Malaysia yang bergantung harap kepada pendapatan harian seperti peniaga kecil dan sederhana.

Sebaliknya, kerajaan hanya memaklumkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan memperincikan operasi perniagaan ketika PKP.

“Bagi sektor ekonomi, Kerajaan telah mengenal pasti lima sektor yang dibenarkan beroperasi dan dikategorikan sebagai sektor ekonomi perlu.

“Iaitu pengilangan dan pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran, serta perladangan dan komoditi.

“Sektor ini dibenarkan beroperasi kerana peranannya menyokong kerja-kerja membekal keperluan asas seperti makanan, minuman dan barangan keperluan rumah serta penjagaan diri; kelengkapan PPE, peranti perubatan dan ubatan kepada petugas kesihatan; aktiviti perdagangan antarabangsa; memastikan rantaian bekalan tidak terputus dan menyokong infrastruktur kritikal dan kerja-kerja kecemasan.

“Bagaimanapun, hanya 30 peratus pekerja dalam kumpulan pengurusan yang dibenarkan berada di pejabat manakala bagi pekerja di dalam kumpulan sokongan, jumlah pekerja yang diperlukan pada satu-satu masa akan ditentukan oleh majikan masing-masing.

“Ingin saya ingatkan, jumlah pekerja yang ditentukan mestilah mengambil kira pematuhan ketat SOP yang ditetapkan. Jangan sampai tiada penjarakan fizikal langsung sewaktu berada di tempat kerja.

“Mana-mana majikan yang melanggar SOP dan menyebabkan berlakunya penularan jangkitan Koronavirus (Covid-19) di tempat kerja, tindakan tegas akan diambil berdasarkan undang-undang termasuk menutup premis berkenaan.

“MITI akan memperincikan jenis-jenis perkhidmatan yang disenaraikan sebagai essential economic sector.

“MITI dan Kementerian Kerja Raya juga akan memperincikan butiran kerja-kerja pembinaan yang dibenarkan beroperasi.”

Kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam perutusan khasnya hari ini mengenai perkembangan kawalan penularan Covid-19.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan pekerjaan yang tidak disenaraikan sebagai perkhdimatan asas diarahkan bekerja dari rumah dan arahan tersebut perlu dipatuhi.

“Semua majikan mesti mematuhi arahan ini untuk mengurangkan pergerakan di dalam komuniti, terutamanya di kawasan yang berkepadatan tinggi.

“Hanya dengan langkah ini, kita dapat mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 di tempat kerja.

“Sepanjang pelaksanaan PKP kedai makan dan gerai penjaja dibenarkan beroperasi HANYA untuk perkhidmatan take away,” ujarnya.

Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan pelaksanaan PKP2.0 selama 14 hari di enam buah negeri bermula Rabu ini (13 Januari) sehingga 26 Januari 2021.

Negeri yang terlibat adalah, Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, Melaka, Johor dan Sabah.

Sementara negeri lain pula perlu meneruskan pelaksanaan PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) seperti biasa.

Untuk makluman, kes Covid-19 kini meningkat empat angka setiap hari sejak tiga bulan terakhir tahun lalu.

Hal demikian menyebabkan KKM menjangkakan negara berisiko mencatatkan 8,000 kes baharu dalam pada minggu keempat pada Mei nanti.

Justeru, perkara itu amat dibimbangi ramai pihak dan menggesa kerajaan mengambil tindakan segera bagi membendung penularan gelombang ketiga ini. – SM

(Visited 648 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button