Uncategorized

PLUS tambah baik SmartLane tampung peningkatan trafik

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah menambah baik laluan SmartLane bagi menampung peningkatan jumlah trafik pada cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang.

Di antara penambahbaikan tersebut adalah pemasangan Lampu Hijau Berkelip (Green Flashing Light) untuk menunjukkan bahawa laluan SmartLane diaktifkan dan boleh digunakan di lokasi-lokasi yang tertentu, sepertimana yang diumumkan oleh Menteri Kerja Raya baru-baru ini.

Selain itu, PLUS turut menambah papan tanda peringatan pembukaan SmartLane di lokasi SmartLane yang telah dikenal pasti.

“Penambahbaikan ini bertujuan untuk memudahkan pengguna lebuh raya menggunakan SmartLane yang diaktifkan untuk menguruskan kesesakan dan menambah kapasiti lorong di lokasi-lokasi kritikal sepanjang lebuh raya,” kata Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar pada taklimat kepada media bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkenaan persediaan PLUS menguruskan peningkatan jumlah kenderaan di Lebuhraya PLUS sempena musim perayaan
Aidilfitri di Persada PLUS.

Menurutnya, PLUS akan memberi tumpuan khusus kepada pengurusan kesesakan, pengagihan trafik dan keselesaan pengguna bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan yang lebih lancar dan selesa pada musim perayaan Aidilfitri yang akan datang.

Bagi menguruskan kesesakan, PLUS akan menambah laluan SmartLane kepada 18 lokasi tumpuan trafik di lebuh raya bagi membantu melancarkan pergerakan trafik. (Sila rujuk Lampiran A untuk lokasi, tarikh dan masa pengaktifan Smart Lane).

Ketika SmartLane diaktifkan, lorong paling kiri yang sedia ada dibuka sebagai laluan tambahan untuk mengoptimumkan penggunaan semua laluan dan meningkatkan kapasiti lorong bagi mengurangkan kesesakan trafik di laluan kritikal lebuh raya.

Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) di enam lebuh raya di Malaysia sempena musim perayaan yang lalu, lebih 70 peratus pengguna jalan raya yang menggunakan laluan SmartLane bersetuju bahawa inisiatif SmartLane telah membantu dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Dalam masa yang sama, inistiatif tersebut boleh menyumbangkan kepada aliran trafik yang lebih lancar dan penjimatan masa. Namun, penambahbaikan laluan tersebut perlu ditekankan untuk meningkatkan kesedaran menerusi notifikasi kepada pengguna jalan raya.

“SmartLane hanya boleh digunakan oleh kenderaan persendirian/penumpang untuk sementara waktu sebelum diarahkan untuk masuk semula ke laluan utama bagi meneruskan perjalanan mereka.

“Walau bagaimanapun, pengguna lebuh raya dilarang sama sekali untuk memandu di lorong kecemasan di lokasi-lokasi lain di mana tiada laluan SmartLane diaktifkan,” jelas  Nik Airina.

Pengagihan Trafik melalui jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA Untuk mengagihkan trafik, PLUS akan turut menyediakan jadual perjalanan digital iaitu MyPLUS-TTA.

MyPLUS-TTA yang telah dilancarkan oleh Menteri Kerja Raya pada perayaan yang lalu merupakan pendekatan digital PLUS untuk membantu orang ramai merancang dan memilih masa perjalanan yang paling sesuai untuk musim-musim perayaan. Inisiatif MyPLUS-TTA ini adalah komitmen dan sebahagian usaha PLUS untuk meningkatkan keselesaan para pengguna lebuh raya semasa musim-musim perayaan menerusi pengagihan trafik
berdasarkan data dan pola perjalanan pada musim-musim perayaan yang lalu.

Untuk mendapatkan jadual digital MyPLUS-TTA, pengguna lebuh raya boleh memuat turun Aplikasi PLUS dan mendaftarkan perjalanan mereka sekarang untuk memilih waktu perjalanan yang paling optimum pada perjalanan musim perayaan Aidilfitri di antara 4 April hingga 15 April yang akan datang.

Keselesaan Pengguna Bagi membantu melancarkan lagi pergerakan orang ramai untuk pulang ke kampung
halaman, PLUS akan mengambil beberapa langkah merangkumi persediaan operasi di plaza tol, lebuh raya dan kawasan rehat untuk pergerakan perjalanan yang lebih lancar pada waktu puncak sepanjang tempoh perayaan Aidilfitri kali ini. (Sila rujuk Lampiran B untuk persediaan operasi PLUS)

.Dalam masa yang sama, PLUS turut menasihatkan orang ramai supaya menggunakan Aplikasi PLUS, Aplikasi Waze atau Google Maps untuk merancang perjalanan dan mendapatkan pelan perjalanan dengan lebih baik.

(Visited 11 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button