Sukan

PKBM, Abu Samah berdepan tindakan undang-undang

PENGANJUR Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022, Human Voyage (M) Sdn Bhd (HVSB) sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan presidennya, Datuk Abu Samah Abd Wahab.

Ketua Pegawai Operasi HVSB, Shahaizereen A Hamid berkata, tindakan itu mungkin diambil susulan kenyataan dikeluarkan oleh PKBM dan presidennya selama ini yang dianggap boleh menjejaskan HVSB.

Beliau berkata, sepanjang HVSB menganjurkan LTdL pada 2015, 2019, 2020 dan 2022, tidak timbul isu berkaitan dengan hutang kepada mana-mana kontraktor mahupun pasukan, selain hadiah wang kemenangan juga telah dijelaskan.

“Malah HVSB telah membayarkan hutang dari penganjur terdahulu dan perkara ini tidak digembar-gemburkan, malah hingga sekarang PKBM tidak membantu apa-apa dalam hal ini,” katanya, dalam kenyataan, pada Jumaat.

Pada masa sama, beliau berkata, HVSB memahami situasi dihadapi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam menyelesaikan baki bayaran terhadap HVSB disebabkan situasi pasca pandemik Covid-19 serta penelitian dokumen yang memakan masa.

“HVSB mengambil langkah mendiamkan diri bagi menghormati perjanjian yang ada antara pihak HVSB dan juga pihak KBS,” katanya.

Semalam, arena sukan negara dikejutkan dengan berita mengenai LTdL 2023 yang dijadual berlangsung dari 23 hingga 30 Sept ini tidak lagi berada dalam kalendar perlumbaan Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI).

Sebelum ini, Abu Samah meluahkan kebimbangan perlumbaan jelajah berbasikal terulung negara itu mungkin tidak akan berada dalam kalendar UCI musim depan disebabkan tunggakan bayaran melebih RM1 juta oleh penganjur edisi lepas kepada lima pasukan bertanding.

Abu Samah dipetik sebagai berkata, isu tunggakan itu bukan sahaja mencalarkan reputasi baik LTdL, malah berupaya menjejaskan minat pasukan luar untuk bersaing dalam edisi kali ini dan seterusnya, namun memberi jaminan akan berusaha mengatasi masalah berkenaan.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh percaya isu perlumbaan jelajah LTdL 2023 dikeluarkan daripada kalendar perlumbaan antarabangsa dapat diselesaikan dalam masa beberapa hari ini.

Beliau berkata, Majlis Sukan Negara (MSN) dan PKBM sedang berbincang dengan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) untuk menyelesaikan isu itu.

“Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh berkata pihaknya sedang berbincang dengan UCI mengenai cara untuk cari penyelesaian. Tunggu beberapa hari untuk dapat maklumat daripada mereka,” katanya ketika ditemui semasa Kejohanan Hoki Konfederasi Hoki Malaysia (MHC)-Kelab Diraja Selangor (RSC) bawah-12 tahun pada Jumaat.

Status mengenai LTdL 2023, yang dijadualkan bermula 23-30 September ini, menjadi tanda tanya selepas perlumbaan berstatus ProSeries itu tidak lagi berada dalam kalendar perlumbaan badan induk dunia berkenaan kerana masalah hutang penganjur sebelum ini.

Hannah berkata, isu tunggakan pembayaran itu bukan masalah baharu tetapi sudah lama wujud.

Ditanya sekiranya penganjur terdahulu akan dikenakan sebarang tindakan berikutan isu itu, Hannah berkata: “Jangan bimbang…tunggu MSN dan persatuan sukan kebangsaan akan selesaikan masalah ini.”

Sebelum ini, Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab mendakwa penganjur LTdL 2019, 2020 dan 2022 belum menyelesaikan tunggakan hutang lebih RM1 juta, yang tidak membabitkan hadiah kemenangan, berdasarkan laporan UCI.

Sementara itu, Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal, berkata kejohanan hari ini ini merupakan kali pertama KHM berkolaborasi dengan kelab swasta, RSC untuk menganjurkan kejohanan pelbagai peringkat umur.

“Hari ini kita menyaksikan kejohanan bawah-12 tahun, dan esok akan berlangsung kejohanan bagi kategori terbuka dan veteran. Sebelum ini kita anjurkan sendiri kejohanan bawah-12 tahun dan veteran, tetapi kita berasa bahawa perlu bekerjasama dengan pihak kelab dan bercampur dengan masyarakat luar untuk kembangkan lagi sukan ini,” katanya. – Bernama

(Visited 241 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button