fbpx
Nasional

Pihak atasan KKM tidak dimaklumkan tentang kes Khairuddin

KEMENTERIAN Kesihatan hanya mengetahui mengenai kes Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali ingkar perintah kuarantin wajib hanya melalui laporan media.

Pihak atasan kementerian langsung tidak dimaklumkan mengenai perkara itu.

“Saya dan juga timbalan pengarah yang lain tidak dimaklumkan oleh petugas di lapangan mengenai perkara ini dan hanya mengetahuinya daripada laporan media minggu lalu.

“Bagaimana pun, kami sudah mengarahkan siasatan dalaman dilakukan berhubung perkara itu dan saya sudah menerima laporan penuh siasatan terbabit,” katanya pada sidang akhbar di Putrajaya, hari ini.

Mohd. Khairuddin mencetuskan kontroversi apabila tidak menjalani perintah kuarantin wajib selepas pulang dari lawatan di Turki pada 7 Julai lalu.


Menurut Dr. Noor Hisham laporan daripada hasil siasatan itu akan diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

“Saya difahamkan pihak polis sedang melakukan siasatan berhubung perkara itu dan kami serahkan kepada mereka (polis) untuk tindakan lanjut.

NOOR HISHAM
NOOR HISHAM ABDULLAH

“Ini kerana pihak polis adalah sebahagian daripada agensi penguat kuasa yang boleh mengambil tindakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

“Jadi, saya tidak boleh mengeluarkan kenyataan lebih lanjut berhubung perkara ini memandangkan ia (kes) sudah diserahkan kepada pihak polis,” katanya.

Mohd Khairuddin sebelum ini sudah dikenakan kompaun RM1,000 kerana kesalahan melanggar perintah kuarantin.

Ini berdasarkan Akta 342 yang mewajibkan semua individu yang baru tiba dari luar negara sama ada warga negara atau warga asing untuk menjalani kuarantin wajib selama 14 hari sebagai langkah mengekang penularan Covid-19.

Mohd Khairuddin melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 [Akta342].

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok telah membangkitkan ketidakpatuhan arahan kuarantin oleh Mohd Khairuddin itu di Dewan Rakyat. – SM

(Visited 24 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button