Parlimen

PH gagal jatuhkan kerajaan dalam undi Belanjawan kali ke-3

HASRAT ahli Parlimen Pembangkang untuk menjatuhkan Kerajaan Perikatan Nasional melalui undi belah bahagi pada bacaan kali ketiga Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 gagal sebentar tadi.

Keputusan dibacakan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun dengan 111 menyokong, 108 menolak dan 1 tidak hadir.

Ahli Parlimen Pembangkang meminta undi belah bahagi dijalankan sebaik Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafril Tengku Abdul Aziz membacakan undang-undang terbabit.

“Datuk Yang Dipertua saya mohon mencadangkan Rang Undang-undang Bernama Satu Akta menggunakan sejumlah wang dari kumpulan wang yang disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2021. Dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk perkhidmatan tahun itu telah ditimbangkang dalam jawatankuasa. dan dipersetujukan dengan pindaan.

“Saya mohon mencadangkan bahawa Rang Undang-undang ini dibacakan bagi kali ketika dan diluluksan sekarang,” kata Tengku Zafril.


Itu undian kali kedua dibuat dalam tempoh kira-kira setengah jam selepas pembangkang tewas dalam jumlah yang sama selepas bangun meminta diadakan undi belah bahagi terhadap Fasal Satu dan Dua rang undang-undang terbabit.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon membenarkan usul itu selepas 15 ahli Parlimen pembangangkang bangun.

Rashid: Saya mohon mencadangkan iaitu rang undang-undang ini dimaklumkan kepada majlis. Masalahnya ialah bahawa rang undang-undang perbekalan 2021 dimaklumkan kepada majlis sekarang. Ahli-ahli Yang Berhormat yang bersetuju kata bersetuju yang tidak bersetuju kata tidak.

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar: Mohon belah bahagi

Rashid: Oleh sebab lebih 15 orang bangun meminta belah bahagian maka mengikut peraturan mesyuarat 46 (4) saya memerintahkan satu belah bahagian diadakan.

Hari ini dua Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi diluluskan dengan undi suara.

RUU itu sudah diluluskan di peringkat dasar pada 26 November lalu menerusi undian suara majoriti, namun melalui laluan sukar apabila di peringkat jawatankuasa.

Daripada 27 kementerian itu, 18 kementerian diluluskan di peringkat jawatankuasa dengan undian suara majoriti manakala sembilan kementerian melalui undian belah bahagian.

Sembilan kementerian diluluskan menerusi undian belah bahagian adalah Kementerian Kewangan; Jabatan Perdana Menteri; Kementerian Pengangkutan; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Turut tersenarai Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi; Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Kementerian Wilayah Persekutuan.

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) menegaskan, pengumuman dan penggulungan Belanjawan 2021 baru-baru ini, dilihat tidak memenuhi apa dipohon dan diharapkan Ahli Parlimen malah harapan rakyat juga.

Kerajaan juga berhadapan kumpulan Tun Dr Mahathir Mohamad (BEBAS- Langkawi) yang jelas semalam, menyatakan akan menolak Belanjawan 2021.

Kumpulan Dr Mahathir ini termasuklah tiga lagi Ahli Parlimen dari parti Pejuang iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir (BEBAS-Jerlun), Datuk Amiruddin Hamzah (BEBAS-Kubang Pasu) dan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (BEBAS-Sri Gading).-SM

 

(Visited 617 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button