Nasional

Perubahan cukai tidak menyebabkan kenaikan mendadak harga perkhidmatan

Kerajaan menjangkakan perubahan cukai bermulai 1 Mac ini tidak menyebabkan kenaikan mendadak kepada harga perkhidmatan sekali gus tidak akan membawa kejutan kepada ekonomi.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ini kerana kenaikan kadar cukai sebanyak dua mata peratusan ini melibatkan beberapa perkhidmatan bercukai sahaja.

Katanya, kenaikan kadar Cukai Perkhidmatan daripada 6% ke 8% yang berkuat kuasa mulai 1 Mac 2024 menumpukan kepada aktiviti berkaitan perkhidmatan kemahuan (‘discretionary’) dan aktiviti antara perniagaan (‘business-to-business’; B2B).

Katanya, ini bagi memastikan rakyat tidak dibebani dengan kadar cukai kepenggunaan yang lebih tinggi
khususnya dalam perkhidmatan keperluan penting seperti makanan dan minuman, parkir kenderaan, telekomunikasi serta logistik.

“Bagi menjayakan transformasi ekonomi, Kerajaan mengambil pendekatan yang berhati-hati dalam usaha mereformasi sistem percukaian negara. Meskipun adanya keperluan untuk mengembangkan hasil negara, Kerajaan perlu menimbangkan ini dengan mengambil kira keperluan melindungi rakyat daripada beban berlebihan.

“Kerajaan perlu memperluas asas cukai demi memperkukuh asas fiskal negara ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan sepertimana digariskan di bawah kerangka Ekonomi MADANI.

“Pada masa sama, Kerajaan turut giat merangkul seluruh kekuatan dan tenaga bagi melaraskan semula trajektori ekonomi negara  merangkumi amalan perbelanjaan yang berhemat, mengurangkan ketirisan serta menarik pelabur langsung asing (FDI),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan mengenai langkah Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan perincian reformasi percukaian, sebagai langkah menyokong usaha Kerajaan MADANI untuk memperkukuh asas fiskal dan membawa ekonomi negara ke landasan yang lebih baik.

Katanya, sistem percukaian yang ditambah baik dijangka meraih tambahan hasil yang dianggarkan sebanyak RM3 bilion kepada negara. Hasil tambahan ini dapat dimanfaatkan untuk menambah baik bantuan bersasar kepada rakyat selain memperbanyak penambahbaikan dan penyelenggaraan prasarana awam kritikal seperti kesihatan, sekolah dan jalan raya.

Menurut beliau, berdasarkan Peraturan-peraturan Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2024 yang telah diwartakan pada 23 Februari 2024, semua perkhidmatan bercukai yang disenarai dalam Jadual Pertama, Peraturan-peraturan Cukai Perkhidmatan 2018 akan dikenakan Cukai Perkhidmatan pada kadar 8%. Ini termasuklah perkhidmatan bercukai yang diimport dan perkhidmatan digital.

Di samping itu, liputan Cukai Perkhidmatan turut akan diperluas bagi menyelaras dan memberi layanan cukai sama rata ke atas perkhidmatan tertentu dalam industri yang sama.

Sebagai contoh, pusat karaoke yang berunsur hiburan akan dikenakan Cukai Perkhidmatan sebanyak 8%, sama seperti pusat-pusat hiburan lain yang merangkumi kelab malam, dewan tari menari, kabaret dan pusat kesejahteraan.

Perkhidmatan broker dan penajajaminan, yang kini hanya dikenakan kepada perkhidmatan kewangan
sahaja, akan diperluas kepada perkhidmatan-perkhidmatan industri broker lain seperti broker kapal/kapal terbang, komoditi dan hartanah.

Peningkatan kadar Cukai Perkhidmatan daripada 6% kepada 8% tidak melibatkan perkhidmatan yang menjadi keperluan asas serta menjadi sebahagian daripada gaya hidup rakyat di negara ini.

Sebagai contoh, perkhidmatan yang banyak digunakan oleh rakyat seperti makanan dan minuman, telekomunikasi dan parkir kenderaan kekal dikenakan cukai perkhidmatan pada kadar 6%.

“Ini termasuklah perkhidmatan logistik yang akan dikenakan cukai perkhidmatan pada kadar 6%. Bagi perkhidmatan penghantaran makanan dan minuman, Cukai Perkhidmatan tidak akan dikenakan.

“Bagi perkhidmatan elektrik, Cukai Perkhidmatan hanya dikenakan ke atas kadar penggunaan lebih daripada 600kWj. Hampir 85% pengguna elektrik berada di bawah ambang ini, dan tidak terkesan dengan kenaan Cukai Perkhidmatan ini.

“Cukai  Perkhidmatan juga tidak akan dikenakan kepada perkhidmatan air dirawat,” jelasnya. – SM

(Visited 43 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button