Nasional

Pengarah JSJ Bukit Aman turun padang, tinjau perkembangan siasatan kes Zayn Rayyan

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain hari ini turun padang meninjau perkembangan siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matiin di Apartment Idaman Damansara Damai di sini.
Memetik laporan BERNAMA, Mohd Shuhaily dilihat tiba di apartment berkenaan kira-kira pukul 1.10 tengah hari menaiki motosikal berkuasa tinggi diiringi dua kereta peronda sebelum diberikan penerangan mengenai kes berkenaan oleh beberapa anggota dipercayai pegawai penyiasat kes.
Mohd Shuhaily kemudian dilihat memasuki Blok R apartment berkenaan, dipercayai untuk meninjau lokasi kejadian termasuk aliran anak sungai tempat mayat kanak-kanak malang itu ditemukan.
Mohd Shuhaily bagaimanapun enggan mengulas ketika ditanya mengenai perkembangan kes berkenaan yang masuk hari ke-14, hari ini.
“Tiada apa-apa kenyataan daripada saya, semua maklumat oleh KP (Ketua Polis) Selangor,” katanya sebelum beredar dari apartment itu pada 2.30 petang.
Kanak-kanak berusia enam tahun itu dilaporkan hilang pada 5 Dis lepas di Damansara Damai, sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartment Idaman pada keesokannya.
Mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badan kerana mempertahankan diri dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – SM
(Visited 196 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button