fbpx
Nasional

Penduduk gesa tapak pelupusan sampah haram ditutup segera

KUANTAN: Pihak berkuasa perlu segera menutup tapak pelupusan sampah haram di kawasan perindustrian Gebeng, berikutan bau busuk dan asap akibat pembakaran terbuka di kawasan itu.

Tapak pelupusan sampah haram seluas 0.5 hektar dikesan di kawasan berkenaan selepas penduduk terhidu bau busuk dan asap dari kawasan itu sejak seminggu lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu, berkata tapak pelupusan haram itu mengancam kesihatan penduduk sekitar terutama di kawasan Balok dan Balok Perdana kerana mencemari kualiti udara di kawasan perumahan itu.

Katanya, beberapa hari lalu, penduduk membuat aduan selepas mendakwa terhidu bau kurang menyenangkan di kawasan sekitar, yang menjejaskan kesihatan anak-anak.

“Penduduk juga memberitahu masalah sama masih berulang, malah semakin kuat baunya sehingga mengundang ketidakselesaan dalam kalangan penduduk setempat.


“Jadi, saya menghubungi Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang untuk menjalankan pemeriksaan dan mendapati ada satu kawasan baharu dijadikan tapak pelupusan sampah dan pembakaran terbuka di kawasan terbabit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, hasil lawatan dan pemeriksaan mendapati banyak sisa perindustrian seperti bahan kimia selain sisa domestik dibuang di kawasan berkenaan.

“Pembakaran sisa buang itu menyebabkan kawasan ini mengeluarkan bau kurang menyenangkan yang boleh menjejaskan kesihatan.

“Saya juga menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Gebeng bagi memadam kebakaran sisa itu dan pihak bomba sudah meletakkan tali sawat supaya kawasan terbabit tidak lagi diceroboh serta tiada pembakaran terbuka dilakukan.

“Saya juga dimaklumkan, pihak JAS sudah menubuhkan pasukan untuk memantau kawasan terbabit,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button