AgamaNasional

Kerajaan perlu kekalkan subsidi ibadah haji

SUBSIDI haji kepada semua pendeposit perlu dikekalkan tanpa mengira latar belakang walaupun kos ibadah itu dilaporkan meningkat sehingga RM25,000 bagi seorang jemaah haji muassasah  tahun ini.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, subsidi haji adalah keistimewaan yang diberikan khusus kepada jemaah haji negara ini melalui muassasah Tabung Haji (TH).

Dan ia selaras dengan matlamat dan objektif penubuhan institusi itu yang berperanan memudahkan dan mengurus segala aspek berkaitan ibadah haji.

Asyraf berkata, ketika Barisan Nasional (BN) mentadbir, tidak pernah timbul isu berkaitan subsidi bersasar atau TH mengalami kerugian dan sebagainya.

“Dahulu kita sentiasa berikan hibah tinggi kepada pendeposit. Melindungi pendeposit, bukan sahaja menjaga wang mereka selamat tetapi memastikan hibah yang baik berbanding institusi kewangan lain. Matlamatnya adalah untuk memudahkan orang Islam menunaikan haji.

“Jika dibuang subsidi, apa lagi keistimewaan (umat Islam) yang ada,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa TH adalah satu institusi yang unik dan istimewa, yang tidak terdapat di negara Islam lain.

Asyraf mengulas cadangan Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan pakar ekonomi agar kerajaan menggunakan kaedah subsidi bersasar untuk jemaah haji bagi tahun ini bagi mengurangkan impak yang ditanggung oleh kerajaan dan TH.

Khamis lalu TH memaklumkan kos menunaikan haji bagi seorang jemaah muassasah pada tahun ini dijangka meningkat kepada lebih RM25,000.

Kos itu berbanding RM22,900 pada 2019 susulan kenaikan berkaitan cukai dan caj perkhidmatan baharu yang dikenakan oleh kerajaan Arab Saudi.

Susulan perkembangan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, kerajaan memberi jaminan kemudahan subsidi bagi menunaikan haji diteruskan tahun ini namun kadar yang akan ditanggung masih belum diputuskan.

Mengulas lanjut, Asyraf yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, beliau adalah antara individu yang lantang membantah cadangan pengurangan subsidi haji ketika ia mahu dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2019 dan perkara itu akan tetap ditentang jika ia mahu dilaksanakan ketika ini.

Beliau juga tidak bersetuju dengan pendapat segelintir pakar ekonomi yang melihat pemberian subsidi itu akan menjejaskan pengagihan kadar hibah dengan menegaskan institusi itu berbeza daripada institusi kewangan lain.

“Kalau sebagai pakar ekonomi kita hanya melihat dari perspektif konvensional untung rugi sebuah syarikat tanpa memahami matlamat yang mendasari penubuhan institusi tersebut, sudah tentu kita akan bercakap berasaskan pemikiran konvensional,” katanya. – SM

(Visited 199 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button