NasionalNegeri

Pemangku Raja Perlis terima mengadap Konsul Jeneral Songkhla baharu

PEMANGKU Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menerima sembah mengadap oleh Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Thailand yang baru iaitu Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Seoul, Korea Selatan pada semalam.

Baginda bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda bongsu, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail singgah di Seoul dalam penerbangan pulang ke tanahair dari Los Angeles.

Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen berkenan bergambar dengan Maria Castillo Fernandez dan Lim Juay Jin.

Ahmad Fahmi masih di Seoul dan sebelum ini bertugas sebagai Menteri Penasihat di Kedutaan Besar Malaysia di Korea Selatan.

Beliau yang pernah juga berkhidmat di Damascus, Syria dan Rom, Itali akan melaporkan diri di Songkhla pada 23 Ogos ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra juga akan diiringi beliau sempena program tahunan ‘Kayuhan Merdeka di Selatan Thailand’ sempena Hari Kebangsaan nanti.

Dalam perkembangan lain, ketika di Seoul juga Baginda berdua berkenan meluangkan masa menerima mengadap Duta Besar Kesatuan Eropah (E.U.) ke Korea Selatan, Maria Castillo Fernandez.

Maria yang pernah berkhidmat di Kuala Lumpur selama empat tahun dari September 2016 hingga September 2020 dan pernah mengetuai delegasi Duta-Duta Besar dari negara-negara Kesatuan Eropah (E.U.) ke Perlis untuk sesi lawatan kerja mengadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid pada tahun 2019.

Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen juga diiringi Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan, Datuk Lim Juay Jin dalam sesi tersebut.

Juay Jin dalam sembah maklum kepada Pemangku Raja dan Raja Puan Muda bahawa pada tahun 2022, Korea Selatan merupakan rakan dagangan ke-8 terbesar Malaysia, destinasi eksport ke-8 terbesar dan sumber import ke-7 terbesar.

“Perdagangan dua hala di antara Malaysia dengan Korea Selatan berjumlah USD 25.91 bilion pada tahun 2022 telah meningkat sebanyak 21.6 peratus dan menyumbang 4 peratus daripada keseluruhan jumlah perdagangan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, jumlah eksport Malaysia ke Korea Selatan juga berkembang sebanyak 35.2 peratus mencapai nilai USD 12.47 bilion di mana ia telah menyumbang sebanyak 3.5 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport Malaysia, hasil daripada peningkatan permintaan untuk produk dan perkhidmatan Malaysia dalam pasaran Korea Selatan.

Selain itu, katanya, jumlah import Malaysia dari Korea Selatan pula bernilai USD 13.44 bilion, telah meningkat sebanyak 11.3 peratus daripada tahun sebelumnya, di mana ia merangkumi 4.6 peratus daripada jumlah import global Malaysia.

Menurut Juay Jin lagi, bagi Korea Selatan, Malaysia merupakan rakan dagangan ke-12 terbesar pada tahun 2022 dengan jumlah perdagangan berjumlah USD 26.72 bilion iaitu merangkumi 1.89 peratus syer daripada jumlah keseluruhan perdagangan negara tersebut.

Tambah beliau, di kalangan negara ASEAN, Malaysia merupakan rakan dagangan ke-3 terbesar kepada Korea Selatan, selepas Vietnam dan Singapura pada tahun 2022.

Produk utama yang dieksport oleh Malaysia ke Korea Selatan pada 2022 ialah produk elektrik dan elektronik terutamanya litar bersepadu elektronik (USD 3.95 bilion) yang menyumbang sebanyak 31.7 peratus daripada jumlah eksport Malaysia ke Korea Selatan.

Produk eksport kedua terbesar ialah LNG (Gas asli cecair) bernilai USD 2.82 bilion menyumbang 22.6 peratus daripada jumlah eksport Malaysia ke Korea Selatan, diikuti oleh produk petroleum (USD 0.94 bilion, 7.6 peratus), pengeluar logam (USD 0.77 bilion, 6.2 peratus) dan produk besi dan keluli (USD 0.6 bilion., 4.8 peratus).

Lima produk utama yang diimport Malaysia dari Korea Selatan pada 2022 ialah produk petroleum, bernilai USD 3.83 bilion yang merangkumi 28.1 peratus daripada jumlah import Malaysia daripada Korea Selatan, produk elektrik dan elektronik (USD 3.64 bilion., 26.3 peratus) produk kimia (USD 1.48 bilion., 11 peratus) mesin dan peralatan (USD 1.16 billion.,8.6 peratus dan produk besi dan logam (USD 0.84 bilion, 6.2 peratus. – SM

BACA Beri ruang institusi agama berperanan selayaknya-Pemangku Raja Perlis

(Visited 82 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button