AgamaNasionalNegeri

Pegangan agama berperanan besar bentuk pemikiran- Raja Muda Perlis

PEGANGAN agama yang teguh memainkan peranan besar dalam membentuk pemikiran dan pandangan serta berada di landasan yang betul dalam mengejar kejayaan di dunia dan di akhirat.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, para pelajar perlu menerapkan dan menanamkan elemen kepercayaan atau pegangan agama yang teguh dalam diri masing-masing.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan bertitah ketika merasmikan Program Titian Kasih Mega Tahun 2023 Bagi Peringkat SMK Syed Hassan (Sekolah Sukan Negeri) di Kangar baru-baru ini.

Baginda bertitah, pembentukan disiplin seharusnya seiring kerana pelajar yang berjaya dalam bidang sukan mesti mempunyai disiplin yang tinggi dan dapat mengawal diri untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Pada masa yang sama titah Baginda, pembangunan akhlak remaja memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian, titah Baginda lagi.

“Bagi melengkapkan lagi modal insan yang berkualiti, pembinaan adab serta akhlak yang baik perlulah diterapkan oleh ibu bapa dan pihak sekolah,” titah Baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian ketika berkenan berangkat merasmikan Program Titian Kasih Mega Tahun 2023 Bagi Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hassan (Sekolah Sukan Negeri) di Kangar baru-baru ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen berkenan bergambar bersama guru dan pelajar ketika merasmikan Program Titian Kasih Mega Tahun 2023 Bagi Peringkat SMK Syed Hassan (Sekolah Sukan Negeri) di Kangar baru-baru ini.

Keberangkatan tiba Baginda yang diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Naharudeen Othman dan Pengetua SMK Syed Hassan, Muhamad Rizal Ibrahim.

Program anjuran YTSP Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dihadiri oleh 200 pelajar sekolah berkenaan.

Menurut Muhamad Rizal, SMK Syed Hassan telah melakarkan kecemerlangan dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang telah diumumkan baru-baru ini iaitu, 100 peratus layak sijil serta lulus bahasa Melayu dan Sejarah.

Manakala Gred Purata Sekolah (GPS) meningkat daripada 5.48 kepada 5.08 dan peratus lulus juga meningkat dari 91.57 kepada 100 peratus.

Kesemua calon seramai 73 orang telah layak mendapat sijil SPM 2022.

Selain kejayaan dalam bidang akademik, sekolah ini juga turut melakar kecemerlangan dalam bidang kokurikulum iaitu sukan dan permainan, badan beruniform dan kelab persatuan yang telah diwakili oleh anak-anak pelajar SMK Syed Hassan ini sehingga ke peringkat negeri dan kebangsaan.

Antaranya Amirul Zafran Safuandi mendapat tempat ketiga dalam kejohanan 18th Amateur/Pro-Am Muaythai Championship 2023.

Dua pelajar telah mewakili negeri Perlis di peringkat kebangsaan bagi Kejohanan Badminton Sirkit Remaja Kebangsaan Junior Elite Tour Leg 2 (Beregu Perempuan Bawah 14 Tahun).

Muhammad Dalqifh Naufal pula telah menjuarai Kejohanan Skuasy Majlis Sukan Sekolah Perlis (MSSPs).

Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen berkenan menerima mengadap para pelajar ketika merasmikan Program Titian Kasih Mega Tahun 2023 Bagi Peringkat SMK Syed Hassan (Sekolah Sukan Negeri) di Kangar baru-baru ini.

Pelajar sekolah ini turut menyertai kejohanan di peringkat kebangsaan Ramadhan Night Ride Open Criterium, YSG Track Series N9 dan The 2nd Langkawi Youth Sailing Championship.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan untuk menyempurnakan simbolik perasmian bengkel pembuatan roti Program Pendidikan Khas Integrasi (PKKI) bagi sekolah ini.

PPKI merupakan aktiviti kurikulum dan pendidikan yang sesuai kepada Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) untuk mengikuti mata pelajaran vokasional supaya berkemampuan untuk berdikari dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara.

Pemilihan bidang pembuatan roti adalah hasil kesepakatan di antara guru-guru pendidikan khas bersama pentadbir sekolah ini.

Raja Muda juga menzahirkan agar pelajar sekolah ini akan terus mengharumkan nama sekolah dan negeri di peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa khususnya dalam bidang sukan dan kokurikulum.

Baginda turut berharap agar kejayaan dalam bidang sukan dan pelajaran adalah seiring dan seimbang bagi melahirkan para pelajar yang cemerlang dalam semua aspek.

Untuk rekod, SMK Syed Hassan telah melahirkan atlet-atlet kebangsaan seperti Ahmad Amsyar Azman (Terjun papan Anjal, world aquatic championship dan Sukan Asia), Nur Amyra Rosli (lumba basikal), Sairul Amar Ayob (Badminton),
Mohd Nasir Ismail (sepak takraw) serta Ibrahim Saad dan Saidin Osman (bola sepak). – SM

(Visited 38 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button