Bola SepakSukan

Pasukan Akademi Mokhtar Dahari sertai Kejohanan Bola Sepak B16

INTER Club Football League (ICFL) maju selangkah dalam pembangunan bola sepak negara di peringkat akar umbi apabila menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Bawah 16 (B16) Peringkat Kebangsaan 2022 pada 1 hingga 4 Mac di Kota Bharu, Kelantan.

Sebelum ini, kata Presiden ICFL, Datuk Kamil Mokhtar, ICFL lebih tertumpu kepada penganjuran liga komuniti dan karnival di sekitar Lembah Klang.

“Dengan penganjuran peringkat kebangsaan ini, ICFL berjaya merancang untuk lebih berkembang dalam arena bola sepak negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Kejohanan Bola Sepak Bawah 16 (B16) Peringkat Kebangsaan 2022 ini dianjurkan dengan kerjasama Grey United Football Club (Grey United FC) dengan sokongan Majlis Sukan Negeri Kelantan (MSNK) dan Majlis Sukan Negara.

Katanya, sehingga ke hari ini, penyertaan untuk Kejohanan Bola Sepak Bawah 16 (B16) Peringkat Kebangsaan 2022 ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

“Ia melibatkan pasukan dari Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

“Lebih menarik lagi, kejohanan ini terbuka kepada mana-mana kelab dan pasukan negeri dan pasukan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang berpengkalan di Gambang, Kuantan, Pahang mengesahkan penyertaan mereka,” katanya.

Untuk makluman, dalam usaha melahirkan pemain bola sepak berkualiti, Kelab Bolasepak ICFL telah mewujudkan satu platform khas untuk belia remaja terutama di peringkat bawah 14 tahun sejak tahun 2018 lagi.

Katanya, ICF juga sedang merancang untuk melakukan pembaharuan dalam ekosistem pembangunan pemain di peringkat akar umbi seperti mana yang digunapakai oleh pasukan Grey United dari Kelantan yang disifatkan cukup sempurna.

“Dalam kejohanan ini, Grey United menghantar dua pasukan, pembangunan pemain mereka amat menarik bermula ‘zero to hero’ dengan menjuarai pelbagai kejohanan sebelum ini.

“Apa yang menarik pemain tidak mengabaikan pembelajaran mereka.

“Sehubungan itu, ICFL juga merancang untuk menerapkan kaedah pembangunan pemain yang sama untuk membentuk pasukan yang mantap pada masa akan datang termasuk menjalinkan kerjasama dengan sekolahsekolah termasuk pusat-pusat tahfiz yang ada di sekitar lembah klang,” ujar beliau.

Sementara itu, di sebalik Kejohanan ini, Kelab Bolasepak ICFL turut menyediakan ‘system data base’ bagi setiap pemain dan pasukan yang terlibat bagi persediaan mereka menjadi pemain professional, katanya.

Tambah beliau, sistem ini telah terbukti keberkesanannya apabila diguna pakai oleh Kelab Bolasepak ICFL dalam seminar “KEM JAGUH” di Melaka pada peringkat permulaannya.

Ujar beliau, hasil “system data base” dan KEM Jaguh ini sangat bagus kerana terdapat perubahan besar yang berlaku terhadap pemikiran dan pencapaian pemain di peringkat yang lebih tinggi.

“Malah ada di antara pemain telah terpilih mewakili negeri dan daerah masing-masing,” katanya lagi.

Untuk rekod, maksud “data base” yang disimpan oleh Kelab Bolasepak ICFL ialah satu profil lengkap kepada pemain mahupun pasukan dari segi pencapaian fizikal, teknik, disiplin, skill dan lain-lain apabila menyertai Kejohanan anjuran Kelab Bolasepak ICFL sehinggalah mereka dapat mewakili PLD, MSSN ataupun kelab-kelab ternama serta mewakili negeri masing-masing.

Pasukan yang menjuarai kejohanan ini akan mewakili ICFL Malaysia untuk bersaing dalam kejohanan antarabangsa melibatkan pasukan dan kelab dari negara luar seperti Brunei, Singapura, Thailand, Indonesia, Korea dan Jepun.

Sementara itu, pihak penganjur berharap ada mana-mana agensi kerajaan atau swasta tampil memberikan sokongan padu kepada penganjuran tahun ini bagi melahirkan pemain yang berkualiti dan menjadi pelapis kepada pasukan bolasepak negara. –  SM

(Visited 732 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button