Nasionalpilihan

Pasang lagu tradisional, bukannya dangdut

Kira-kira 370 pengusaha beca yang beroperasi di sekitar Banda Hilir Melaka  diminta untuk memasang lagu-lagu kebangsaan dan lagu-lagu tradisional Melaka terutama Dondang Sayang dan bukannya lagu dangdut semata-mata ketika membawa pelancong.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, saranan itu adalah wajar diikuti oleh pengusaha beca
sempena sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Menurutnya, cadangan itu adalah usaha untuk perkenalkan budaya Melaka dan kenapa tidak mengetengahkan lagu-lagu Melayu Asli terutama dondang sayang kepada
pelancong luar.

Selain itu katanya, mereka juga diminta untuk tidak memasang lagu terlalu kuat sehingga boleh menimbulkan rasa kacau dan ganggu kepada pelancong yang menaiki
beca mengelilingi kawasan Banda Hilir.

“Kita ada menerima banyak aduan daripada pelancong yang merasa tidak selesa dengan bunyi lagu yang dipasang terlalu kuat dan bingit terutama bila mereka memasang lagu dangdut.

“Bukan tak boleh pasang lagu tetapi biarlah cukup setakat boleh didengar oleh pelancong yang menaiki beca itu,” ujarnya kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Amanat sempena TMM2024 dan Pembaharuan Lesen Beca Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Dewan Perzim, Jalan Kota di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan; Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman dan Pengurus
Besar Bahagian Promosi Pelancongan Melaka, Saari Basiron.

Mengulas lanjut Abdul Razak juga turut meminta pengusaha beca agar tidak mengenakan caj melampau sebaliknya kekal dengan harga RM25 untuk kurang dari sejam dan RM40 untuk sejam.

Menurutnya, pihaknya menerima aduan ada segelintir daripada mereka mengenakan harga kayangan kepada pelancong yang menaiki beca.

“Saya harap ikutlah harga standard kalau pelacong memviralkan isu negatif ni….secara tidak langsung perkhidmatan beca di Melaka akan memberi kesan kepada
semua industri beca,” ujarnya.

Dalam pada itu Abdul Razak berkata, pihak MBMB bercadang laluan baru dan lima pusat hentian beca bagi mengambil serta menurunkan penumpang.

Katanya, perkara itu masih diperingkat perbincangan dan akan diperhalusi sebelum diputuskan sebelum 25 Disember ini.

Laluan asal dari Dataran Quayside melalui Medan Samudera, Menara Taming Sari dan Bastion House dikekalkan serta ditambah laluan baharu dari Memorial Perisytiharan
Kemerdekaan melalui Muzium Kesultanan Melayu Melaka, Bollard serta masuk semula ke jalan Bangunan Stadthuys. – SM

(Visited 41 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button