Uncategorized

Negara perlu diplomat persaudaraan – Sultan Perak

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah negara ketika ini amat memerlukan diplomat bagi menjalinkan persaudaraan dengan berpandangan jauh, matang, sabar, tenang dan rasional agar suhu panas dapat diturunkan dan negara dihindarkan daripada bencana disebabkan perselisihan kaum serta agama.

“Negara ketika ini memerlukan paradigma yang progresif yang membolehkan rakyat berasa senang dan selesa, tidak memiliki prasangka dan curiga, sebaliknya berminda terbuka menghargai kepelbagaian yang dikurniakan di bumi ini,” titah baginda pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia, Menjunjung Duli dan Penganugerahan Darjah Kebesaran negeri Perak sempena Hari Keputeraan ke-63 baginda di Istana Iskandariah di sini, hari ini. Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Dalam titah yang sarat dengan pesanan serta teguran membina itu, Sultan Nazrin berpesan bahawa setiap negara pada setiap masa menghadapi pelbagai cabaran dan ancaman berbentuk ekonomi, politik, sosial selain ancaman dari luar yang boleh menggugat kestabilan serta ketenteraman.

“Cabaran dan ancaman paling dekat yang sangat kritikal boleh meruntuhkan negara dengan pantas adalah ledakan lava kemarahan sesama rakyat berpunca daripada perselisihan kaum perselisihan agama,” pesan Sultan Nazrin.

Berdasarkan perkembangan semasa, Sultan Nazrin bertitah agar semua pihak mengingati kembali amaran bekas Menteri Dalam Negeri Tun Dr Ismail Abdul Rahman pada tahun 1960 yang menyatakan bahawa cabaran komunalisme yang boleh memecahbelahkan rakyat tidak boleh diperangi secara bersenjata atau diisolasi kerana ia tumbuh dalam diri setiap rakyat.

“Amaran Tun Dr Ismail amat perlu diperingatkan kembali dalam suasana minda warga berlainan kaum, agama yang kelihatan semakin cenderung mencari perbezaan daripada mencari persamaan, lebih mirip melukis sempadan pemisahan daripada mencari titik pertemuan,” demikian pesanan Sultan Nazrin.

Agenda menyatu-padukan rakyat, titah baginda, kini masih sama, akan menjadi kelam jika tidak ditangani dengan baik.

Baginda antara raja yang lantang dan tegas mengkritik isu masyarakat bertitah, slogan dan retorik atas nama kaum serta agama bernada ekstrem dan semakin bergema perlu dihentikan segera kerana ia ibarat bara yang jika tidak dibendung akan menyemarakkan api permusuhan seterusnya membawa kemusnahan kepada negara.

Sultan Nazrin bertitah proses membina warga merdeka yang bersatu padu, memiliki satu identiti nasional tidak boleh ditangguhkan kerana ia jaminan kepada kelangsungan kedaulatan negara.

Baginda bertitah sejak merdeka, negara dirahmati dengan pelbagai kejayaan antaranya keamanan dan kemakmuran, hak memilih kerajaan terjamin, pembangunan prasarana pesat berlaku, peluang ekonomi terbentang luas serta rakyat bebas memiliki harta.

“Tidak berlaku bencana alam ke peringkat melumpuhkan ekonomi negara, bekalan makanan mencukupi, program pendidikan pelbagai khidmat sosial disediakan, kebebasan beragama dijamin, rakyat masih bebas bersuara, media terus diterbitkan, keselamatan negara dan keselamatan rakyat dilindungi oleh tentera serta polis.

“Dalam kesyukuran menyenaraikan kejayaan, satu perkara yang tahap pencapaiannya masih samar dan jika tidak segera ditangani berkemungkinan menjadi kelam ialah agenda membentuk rakyat yang teguh bersatu kepada sebuah negara merdeka yang berdaulat,” titah baginda.

Bernama melaporkan pada istiadat hari ini, Sultan Nazrin berkenaan menganugerahkan Darjah Kebesaran Negeri Perak kepada 19 penerima, manakala istiadat sesi kedua melibatkan 234 penerima dijadualkan pada 16 Nov ini, juga di Istana Iskandariah, Perak.

(Visited 65 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button