Uncategorized

Tak lari kampung dikejar, tunggu kami balik!

PENGUMUMAN kebenaran merentas negeri disambut baik orang ramai sejak diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad lalu.

Kebanyakan warga kota teruja namun lebih seronok jika dapat bergerak bebas tanpa perlu risau akan wabak Covid-19.

Menerusi tinjauan SUARA MERDEKA, orang ramai sudah mula bersiap siaga untuk pulang ke kampung halaman masing-masing setelah hampir sembilan bulan kerajaan melarang aktiviti tersebut.

Seorang pelajar, Farah Waheeda, 21, berkata, dia amat rindu kampungnya di Johor setelah enam bulan tidak pulang dan berasa sangat gembira apabila rentas negeri telah dibenarkan.

“Ini adalah peluang keemasan bagi saya kerana akhirnya dapat pulang ke kampung selepas enam bulan berada di negeri orang bagi menuntut ilmu.


“Saya berasa sangat gembira dan tidak sabar untuk berjumpa dengan keluarga,” katanya yang sudah lengkap dua dos vaksinasi.

Sementara itu, seorang suri rumah, Jamaliah, 65, berkata, dia sangat seronok untuk pulang ke kampung berjumpa sanak saudara kerana saudaranya ingin mengadakan majlis kenduri.

“Saya rasa teruja kerana dapat bersama dan berkumpul dengan keluarga dan saudara mara setelah hampir dua tahun tidak dapat berjumpa sejak Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 (PKP).

“Saya dan anak lelaki sudah membuat ujian kendiri saringan Covid-19 di klinik sebelum balik ke kampung dan Alhamdulillah, keputusannya negatif. Kami dua beranak juga sudah lengkap divaksin”, katanya.

Dalam pada itu, seorang pengawal keselamatan, Shalyza, 43, mengatakan dia ingin pergi bercuti ke Dungun, Kuala Terengganu.

Ini kerana sudah lama dia tidak dapat meluangkan masa bercuti dengan keluarga.

“Dengan kelonggaran ini saya ingin bercuti ke Dungun di samping berjumpa dan berkumpul bersama keluarga.

“Saya telah membuat ujian saringan Covid-19 di klinik dan juga sudah lengkap divaksinasi”, katanya.

Mereka yang ditemui tetap patuh akan Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti memakai topeng muka dan melakukan penjarakan fizikal di samping vaksinasi yang lengkap bagi terus mengekang penularan Covid-19 ini. – SM

(Visited 19 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button