NasionalUncategorized

Mahasiswa Sarawak yang terkandas tenang, berharap dapat pulang

IVAN YEO ZHI YU, 19, mahasiswa dari Bintulu yang terkandas di Universiti Geosians China di Wuhan angkara penularan 2019 novel koronavirus, cuba untuk bertenang dan tidak mahu terlalu memikirkan musibah yang melanda bandar yang didiaminya itu.

Sungguhpun terpaksa berkurung di bilik asrama sejak Tahun Baharu China bukan sesuatu yang mudah, beliau sentiasa melakukan sesuatu bagi mengisi waktu sengkangnya dan bersedia meninggalkan negara itu bersama rakan satu universiti yang ditaja kerajaan Sarawak, Balachandar Subramaniam, 43, yang berada di sana bersama isteri serta dua anaknya.

“Sebenarnya ia adalah rutin yang sama setiap hari … bangun, cari berita terkini dan membaca buku-buku, makan, itu sahaja. Sekali-sekala saya akan melihat keluar tingkap untuk melihat apa yang sedang berlaku tetapi tidak terdapat sebarang aktiviti di sana, “katanya ketika ditanya Bernama melalui Messenger.

Beliau berkata hampir tidak terdapat sesiapa di luar asrama di mana beliau tinggal kerana lebih daripada 200 pelajar asing yang tidak pergi ke mana-mana semasa cuti perayaan telah diberitahu oleh pegawai universiti supaya tinggal di bilik asrama mereka.

Para pegawai akan datang untuk mengemas kini apa-apa maklumat tentang penyakit itu dan pekerja datang untuk membersihkan kawasan awam di dalam dan di luar universiti. Wuhan berada dalam keadaan terkunci dengan orang ramai yang diberitahu agar tetap berada di dalam rumah dan semua mod pengangkutan masuk dan keluar dari bandar dihentikan sejak 22 Jan untuk menyekat penularan wabak itu.

“Untuk makanan dan minuman, kami perlu uruskan sendiri. Bagaimanapun, mereka membekalkan kami penutup hidung dan mulut,” kata lulusan Sarjana Muda Geografi dan Sains Alam Sekitar itu.

Ditanya banyak mana bekalan makanan yang beliau ada, Zhi Yu berkata bekalan yang ada seperti susu dan mi segera cukup untuk 15 hari dan beliau akan berhemah sementara menunggu bantuan tiba.

“Sebenarnya pihak Kedutaan Malaysia cuba menghantar makanan dan bekalan lain kepada saya tetapi tidak dapat melakukannya kerana pengangkutan telah disekat.

“Saya menerima khabar kerajaan mempunyai rancangan untuk memindahkan kami. Harap semuanya berjalan licin dan lancar,”katanya.

Zhi Yu serta Balachandar dan keluarga adalah antara 78 orang rakyat Malaysia di Wuhan yang cuba dibawa pulang oleh kerajaan.

Zhi Yu sentiasa menghubungi keluarganya bagi memberi maklum balas terkini mengenai keadaan di sana.

Beliau juga menghubungi Balachandar setiap hari melalui WeChat.

“Beliau bimbang sekiranya keadaan menjadi bertambah teruk,” apabila ditanya tentang Balachandar, seorang pelajar PhD yang tinggal di universiti bersama isteri serta dua anaknya.

Balachandar yang bekerja di Sarawak sejak tahun 2003 sebagai seorang ahli geokimia dengan Jabatan Mineral dan Geosains dijangka melengkapkan PhDnya dalam Geofizik pada bulan September tahun ini.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilaporkan sebagai berkata, pegawai Malaysia telah berbincang dengan China mengenai pemindahan 78 warga yang kini berada di Wuhan, pusat wabak itu.

— BERNAMA

(Visited 371 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button