Politik

Muhyiddin mahu semua ahli Bersatu tingkat kesiapsiagaan

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu semua ahli parti itu meningkatkan kesiapsiagaan bagi menghadapi pilihan raya tidak lama lagi.

Menurut Muhyiddin sebagai sebuah parti baharu, beliau bangga dengan pencapaian Bersatu yang semakin diterima oleh rakyat.

Justeru beliau mengingatkan semua pihak supaya terus berkhidmat untuk rakyat yang ramai terkesan dari segi kehidupan akibat daripada situasi semasa.

“Alhamdulillah Persidangan Perwakilan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pagoh Kali Ketiga yang saya rasmikan hari ini berlangsung dengan jayanya. Persidangan Perwakilan di semua Bahagian Bersatu seluruh negara juga sedang diadakan.

“Dalam ucapan perasmian tadi, saya sekali lagi mengingatkan seluruh ahli supaya dapat menilai parti bukan sahaja dari segi kekuatan dan perpaduan sahaja tetapi juga dari aspek tanggung jawab dan amanah yang perlu dilaksanakan demi rakyat, bangsa dan negara.


”Saya menegaskan selain mengukuhkan parti, setiap ahli ada tanggungjawab kepada rakyat di kawasan masing-masing yang kebanyakannya terkesan dengan pandemik COVID-19,” katanya dalam hantaran ke Facebook beliau.

Justeru setiap ahli parti kata beliau perlu meneruskan usaha bagi memberi khidmat kepada setiap lapisan rakyat tanpa mengira latar belakang mereka.

“Saya tegaskan sepanjang berhadapan dengan pandemik, rakyat menghargai apa yang telah kerajaan Perikatan Nasional (PN) lakukan bagi membantu menyelamatkan nyawa dan kehidupan mereka.

“Walaupun masih baru saya juga boleh berbangga kerana parti ini berjaya mencatat pencapaian yang agak luar biasa dari aspek sokongan dan dokongan rakyat kerana parti ini berpegang kepada prinsip menegakkan kebenaran dan menentang kemungkaran seperti rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Mengenai Pilihan Raya Umum Ke-15 yang dijangka diadakan tidak lama lagi, beliau meminta seluruh ahli parti meningkatkan kesiapsiagaan terutama dalam aspek memperkukuhkan jentera parti.

“Saya percaya pengalaman bekerja bagi membantu calon calon PN pada Pilihan Raya Negeri Melaka baru-baru ini sangat berharga bagi menghadapi pilihan raya yang lebih besar tidak lama lagi.

”Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada barisan kepimpinan dan sayap parti seperti Armada dan Srikandi kerana telah menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan baik,” katanya.

Pada majlis hari ini juga Muhyiddin telah menyampaikan sumbangan barangan perniagaan kepada peniaga kecil dan bantuan perahu dan bot penambang kepada beberapa nelayan kecil kawasan Pagoh.

(Visited 107 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button