Belang Bertempat

Muhyiddin hulur tangan, disambut Zahid, dirangkul tangan sejuk Hadi

SELEPAS enam bulan, bersurung tarik, sepak terajang, tikam menikam, sindir menyindir, kata mengata dan pelbagai lagi, akhirnya titik perdamaian mula kelihatan.

Apabila kerajaan Perikatan Nasional (PN) berjaya diselamatkan selepas Belanjawan 2020 berjaya mendapat sokongan majoriti ahli parlimen dan apabila undi belah bahagi di peringkat jawatankuasa juga dimenangi oleh kerajaan, menandakan kerjasama tiga parti Melayu iaitu Pas, UMNO dan Bersatu semakin akrab serta serasi.

Selepas pertemuan empat mata Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Zahid Hamidi suasana tegang kedua-dua pemimpin semakin reda.

Apabila Zahid mengeluarkan kenyataan semalam bahawa jangan mendesak Perdana Menteri untuk mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri, ia adalah jelas kompromi yang dibuat selepas persefahaman yang lebih baik.

Terdahulu Muhyiddin dalam  ucapan pada perhimpunan agong Bersatu melahirkan rasa syukur kerjasama yang diberikan oleh Pas dan UMNO demi memastikan kerajaan PN terus kekal walaupun dalam situasi yang terumbang-ambing dan getir.

Bak pepatah Biduk berlalu, kiambang bertaut. Tuduhan bahawa Muhyiddin sengaja menekan para pemimpin UMNO pastinya telah diperjelaskan.

Begitu juga tuduhan Bersatu menikam belakang UMNO ketika Pilihan Raya Negeri Sabah tempoh hari dengan meletakkan calon Bebas, juga telah diterangkan.

Mengapa Zahid selaku Presiden UMNO tidak berada di dalam kabinet dan yang paling sesuai selaku Timbalan Perdana Menteri, tetapi dibiarkan kosong pastinya juga telah diberi penjelasan oleh Muhyiddin.

Zahid juga pastinya akur dan tahu mengapa jawatan Ketua Menteri Sabah diberikan kepada pemimpin Bersatu dan bukan UMNO.

Kedua-dua pemimpin juga pastinya akur termasuk Pas tidak akan bertembung sesama sendiri jika berlaku pilihan raya dalam masa terdekat. Pertembungan itu hanya akan menjejaskan peluang PN untuk menang.

Kini  menjadi tanggungjawab pemimpin UMNO khususnya menjelaskan kepada akar umbi mengapa keputusan itu diambil ketika terdapat desakan supaya UMNO bertanding bersendirian pada pilihan raya kelak berbanding beralah memberi laluan kerusi kepada Pas atau Bersatu.

Jika akar umbi tidak faham jentera UMNO tidak akan bergerak dan jika mahu mengharap Bersatu mereka belum cukup kuat serta kemas di peringkat akar umbi. Hanya Pas dan UMNO yang mempunyai akar umbi yang kukuh dan teratur.

Perkara itu tidak boleh dinafikan kerana Pas dan UMNO telah membuktikan ketika mereka bergabung kesemua pilihan raya kecil telah dimenangi dengan cemerlang.

Dalam hal ini tangan dingin Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersama Pas juga memainkan peranan dalam meredakan ketegangan Bersatu dengan UMNO.

UMNO juga perlu menerima hakikat jika Bersatu tidak ditubuhkan mereka tetap akan kalah pada pilihan raya lalu kerana ketika itu graf sokongan kepada pembangkang sedang meroket.

Bersatu ini adalah takdir yang telah ditentukan untuk mengembalikan kuasa kepada UMNO kerana jasa besar mereka kepada bangsa Malaysia dan kekalahan lalu ada pengajaran supaya parti itu melaraskan kembali laluan perjalanannya supaya berada di landasan yang betul dalam memperjuangkan nasib rakyat.

 

 

 

(Visited 7,317 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button