Belang Bertempat

Abah dahulu disayang, kini ditendang

ABAH nama gelaran diberi kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sejak memegang jawatan Perdana Menteri sering meniti di bibir rakyat.

Pada awal memegang tampuk pemerintahan negara, Abah dipuji dan disanjung kerana menjadi perdana menteri yang paling memahami keluh kesah rakyat dengan kisah Makcik Kiah.

Bagaimanapun ia tidak bertahan lama, ibarat fatamorgana ia lesap begitu sahaja dan kini ia menjadi bahan kritikan yang pada awal hanya cakap-cakap, tetapi kritikan secara terbuka.

Di mana sahaja Abah muncul sama ada membuat perutusan ataupun foto di Facebook beliau hingga foto lawatan beliau ke Jakarta menjadi sasaran kemarahan rakyat yang semakin resah cara negara ini dikendalikan oleh Abah.

Namun Abah kelihatan seperti tidak endah dengan keluh kesah itu, beliau meneruskan agendanya iaitu untuk terus berkuasa walaupun telah kehilangan sokongan majoriti ahli parlimen.

Benteng terakhir beliau kini ialah Yang di-Pertuan Agong yang telah  memperkenankan perisytiharan darurat bagi mengelakkan sebarang usaha untuk menjatuhkan kerajaan yang ada pada masa ini.

Namun rakyat kini terang-terangan memohon baginda campur tangan dalam hal berkenaan dan luahan hati itu sarat dimuatkan di ruang komen di Facebook Istana Negara.

Dengan kes Covid-19 tidak berkurangan dan jumlah pengangguran meningkat sekali ganda, tiada apa lagi yang dapat mengubat lara rakyat pada masa ini.

Majoriti dalam kebimbangan yang amat sangat kerana ekonomi negara tidak berkembang, psikologi mereka semakin terganggu dengan tekanan hidup yang dihadapi pada ketika ini.

Hendak keluar mencari rezeki perlu berdepan dengan kekangan pihak berkuasa dan penularan wabak.

Ramai juga yang memberanikan diri keluar walaupun tahu ia adalah sesuatu yang merbahaya kepada diri sendiri dan keluarga. Bagaimanapun apa lagi pilihan yang mereka ada ketika ini.

Mereka perlu memastikan ahli keluarga mendapat akses kepada makanan dan pendidikan dalam situasi yang paling getir.

Kesilapan Abah adalah menangguh pilihan raya hingga ke tahun ini. Sedangkan negara jiran seperti Singapura telah mengadakan pilihan raya tahun lalu kerana sedar cabaran yang besar menanti tahun ini dan tumpuan boleh diberikan sepenuhnya untuk menangani wabak serta memulihkan ekonomi.

Sedangkan di Malaysia semuanya masih tidak menentu dan ini menimbulkan kemarahan rakyat kepada Abah.

Abah boleh umum pelbagai bantuan dan inisiatif, tetapi yang anehnya ia tidak pernah sampai kepada majoriti khalayak. Ramai yang masih menderita.

Lantara itu tidak terkejut apabila satu gerakan Kami Minta Lima telah mendapat sahutan masyarakat dengan cepat yang kesimpulannya mahukan kerajaan hari ini diganti.

Kerajaan yang baharu bukan hanya pandai berpolitik, tetapi perlu mempunyai kebijaksanaan untuk menangani wabak dan memulihkan ekonomi.

 

(Visited 1,369 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button