Belang Bertempat

Bihun Sup Puaka, Makcik Puaka Melaka, MB Puaka

Perkataan “puaka” merujuk kepada makhluk halus, tempat menyeramkan dan berpenunggu.

Namun yang menjadi tular pada masa ini ialah Makcik Puaka Melaka. Melaka memang terkenal dengan orangnya yang agak kasar pertuturannya.

Bagi penduduk Melaka ia perkara biasa, tetapi tidak bagi orang luar. Masalahnya Melaka menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.

Apabila tidak dikawal pertuturan di sini akan timbul masalah. Jadi apabila viral pemilik restoran menghamun pelanggan di Melaka ia tidak mengejutkan, kerana orang yang sama pernah viral kerana kelakuan yang sama.

Berbeza pada kejadian tidak lama dahulu influencer yang jadi sasaran masyarakat kerana tidak kurang puaka mulutnya apabila dilarang mempromosi produk ketika makan di restoran berkenaan.

Baru-baru ini wanita berusia yang sama dikatakan bercakap kasar dengan pelanggan yang berkunjung dan menjadi tular di media sosial.

Daripada komen orang ramai orang Melaka sendiri menyifatkan kelakuan wanita itu memalukan orang Melaka.

Begitu juga terdapat pemimpin negeri di utara semenanjung Malaysia yang juga sering dipaparkan sebagai bermulut puaka.

Ia lebih parah kerana melibatkan pemimpin tertinggi negeri. Mungkin penduduk negeri berkenaan boleh menerima jenaka puaka, tetapi tidak bagi orang luar.

Sebagai orang berpendidikan dan mempunyai status di dalam masyarakat perkara asas tentang budi bahasa harus difahami.

Alasan latar negeri dan keluarga tidak boleh dijadikan alasan untuk menjadi biadap.

Apabila silap bertaubat, mohon maaf kepada pihak yang tersinggung dan berazam untuk tidak mengulanginya, insya-Allah ia berkesan dan mujarab untuk merawat penyakit mulut puaka.

Lain kes pula kisah Bihun Sup Puaka. Saya pernah singgah kedai makan di kawasan Merbok, Kedah.

Nama saja puaka, tetapi ayat suci al-Quran sentiasa dipasang di kedai berkenaan. Tapi bihun supnya memang “puaka” sedap. Daging begitu banyak ibaratnya terpaksa kuak daging untuk makan bihun.

Mungkin Makcik Puaka Melaka dan MB Puaka ini perlu makan di Bihun Sup Puaka, untuk membuang perangai puaka.

(Visited 1,746 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button