Nasional

MPN Berharap Kerajaan Pergiatkan Promosi Strategik Industri Pelancongan

Saya telah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada petang ini untuk meninjau operasi di salah satu pintu masuk utama negara semenjak pembukaan semula sempadan antarabangsa pada 1 April 2022.

Lawatan saya turut disertai YBhg Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, Pengerusi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan YBhg Dato’ Iskandar Mizal Mahmood, Pengarah Urusan MAHB serta YBhg Dato Abdul Halim Abdul Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, YBhg Dato Makhzan Mahyuddin, Timbalan Ketua Pengarah Imigresen dan wakil-wakil agensi Kerajaan yang bertugas di KLIA.

Majlis Pemulihan Negara (MPN) menyambut baik keputusan pembukaan semula sempadan antarabangsa ini kerana ia selari dengan syor yang dikemukakan oleh MPN pada 7 Februari 2022.

MPN berpendapat pembukaan semula ini akan membantu dalam proses pemulihan negara terutamanya bagi sektor-sektor yang terjejas akibat pandemik COVID-19 seperti pelancongan dan peruncitan.

Semasa tinjauan saya hari ini, didapati proses kemasukan termasuk pemeriksaan imigresen amat teratur. Setelah dua tahun suasana sepi, KLIA kembali meriah dengan pengembara pengembara tempatan dan luar negara.


Dalam dua minggu pertama pembukaan sempadan, KLIA telah menerima lebih 180 ribu individu dari luar negara. Ini merupakan satu indikator yang memberangsangkan dan menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri, jumlah ketibaan antarabangsa dijangka akan meningkat lagi.

Saya turut berkesempatan untuk berjumpa bersama pengusaha-pengusaha yang beroperasi di KLIA bagi mendapat maklum balas mereka terutamanya cabaran yang dihadapi akibat pandemik COVID-19.

Pembukaan semula sempadan ini membolehkan mereka bernafas lega walaupun majoriti mereka menyatakan kerisauan bahawa jualan masih perlahan walaupun aktiviti rancak di KLIA.

Sememangnya, pembukaan sempadan negara ini amat penting untuk proses pemulihan ekonomi negara. Sebelum pandemik Covid-19, pelancongan antarabangsa menyumbang hampir RM 90 billion kepada ekonomi kita setiap tahun.

MPN berharap Kerajaan mempergiatkan lagi promosi strategik industri pelancongan di peringkat antarabangsa. Pengembara-pengembara antarabangsa memerlukan jaminan bahawa Malaysia selamat, terkawal “and is open for business”serta sistem kesihatan kita merupakan antara yang terbaik di dunia, sekiranya berlaku sebarang kemudaratan ketika di sini.

Promosi pelancongan harus lebih kreatif dengan mengambil kira medium komunikasi yang pelbagai dan menitikberatkan aspek keselamatan dan kesihatan awam.

Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, serta MAHB atas segala usaha yang diberikan untuk menjayakan pembukaan semula sempadan negara secara teratur dan selamat.

Marilah kita sama-sama terus berusaha untuk memastikan sektor-sektor yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 dapat bangkit dengan lebih maju dalam bulan-bulan mendatang, insya-Allah.

Kredit: Muhyiddin Yassin

(Visited 26 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button