Nasional

SPRM buat permohonan DOJ maklumat Tim Leissner

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuat permohonan kepada Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (AS) untuk mendapatkan maklumat berkaitan bekas eksekutif bank Goldman Sachs Group Inc, Tim Leissner.

Berita Harian yang memetik sumber memaklumkan, ia bertujuan membantu siasatan SPRM terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Astro Malaysia Holdings Berhad, Datuk Rohana Rozhan.

Ia susulan Leissner mendakwa diugut Rohana yang dikatakan pernah mempunyai hubungan dengannya untuk membelikannya sebuah rumah bernilai AS$10 juta (RM42 juta) di London.

Dakwaan itu dibuat oleh Leissner ketika memberi keterangan di Mahkamah Persekutuan di Brooklyn, New York, Amerika (AS) dalam perbicaraan kes rasuah bekas rakan sekerjanya, Roger Ng berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), awal minggu ini.

Menurut sumber SPRM terbabit, satu permohonan akan dikemukakan kepada DOJ AS bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai dakwaan Leissner itu.

Terdahulu, perbicaraan kes 1MDB di AS bertukar sensasi selepas Leissner memberi keterangan yang dia mempunyai hubungan dengan Rohana.

Memetik laporan Bloomberg, ketika ditanya oleh pendakwa, Drew Rolle mengenai hubungan berkenaan, Leissner berkata, hubungannya dengan Rohana berlanjutan sejak 2003 hingga 2013.

Hubungan mereka kemudian berakhir apabila Leissner berkahwin dengan selebriti Kimora Lee Simmons.

Leissner turut ditanya sama ada dia pernah memberikan sejumlah wang diterimanya ketika bekerja dengan 1MDB, Leissner mengakui berbuat demikian.

Malahan, kata Leissner, beliau membelikan kekasihnya, Rohana rumah pada 2013 selepas Rohana mengancam mendedahkan pembabitannya dalam 1MDB.

Leissner mengaku bersalah pada 2018 kerana terbabit dalam pelanggaran undang-undang antirasuah Amerika Syarikat dan konspirasi pengubahan wang.

Sementara itu, sumber terbabit turut memaklumkan SPRM kini mengkaji maklumat dan butiran daripada rakaman percakapan Rohana selepas dipanggil untuk dirakam keterangan di Ibu Pejabat SPRM, kelmarin.

“Buat masa ini belum ada individu lain yang dipanggil untuk memberi keterangan berhubung siasatan kes itu,” katanya. – SM

 

(Visited 149 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button