Nasional

Mohamad Ali tidak kemuka rayuan

MELAKA 8 Jun – Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad tidak
kecewa dengan keputusan Mahkamah Pilihan Raya hari ini menolak petisyen yang difailkannya untuk mencabar
keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, pada 20
November lalu.

Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu itu berkata, beliau juga tidak akan mengemukakan sebarang rayuan atas
keputusan yang dibuat oleh mahkamah menolak petisyen yang difailkan pada 14 Disember lalu.

“Saya terima keputusan yang dibuat oleh mahkamah dengan hati terbuka dan saya langsung tidak rasa kecewa
malah sudah menjangkakan keputusan ini tidak memihak kepada saya.

“Saya failkan petisyen bukan bertujuan untuk menang tetapi sebaliknya ingin memastikan perjalanan pilihan
raya berjalan sempurna tanpa berlakunya sebarang unsur-unsur rasuah atau salah laku.

“Jika terdapat kelemahan seperti yang saya kemukakan sepanjang 11 hari prosiding tetapi tidak dapat
dibuktikan, saya harap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengambil pendekatan terbaik untuk memperbaiki
kelemahan sedia ada,” ujarnya.


Beliau mengulas keputusan Hakim Datuk Azman Abdullah menolak petisyen yang dikemukakannya selepas
mendapati semua lima tuduhan yang dikemukakan tidak berasas.

Petisyen berkenaan dikemukakan terhadap tiga responden iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai
Udang, Dr. Mohd. Aleef Yusof dari Perikatan Nasional (PN), SPR dan Pengurus Pilihan Raya DUN Sungai Udang.

Mengulas lanjut Mohamad Ali turut mengucapkan tahniah kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai
Udang, Dr. Mohd. Aleef Yusof untuk meneruskan tugas-tugas sebagai wakil rakyat di DUN berkenaan selepas
ini.

Menurutnya, keputusan yang diambil untuk tidak mengemukakan sebarang rayuan kerana mahu menumpukan untuk
menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dalam usaha merampas kembali Parlimen Tangga Batu yang
dimenangi oleh calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada PRU-14 yang lalu.

Peguam mewakili Mohd Aleef, Rosli Dahlan ketika ditemui berkata, sepanjang 11 hari perbicaraan mahkamah
memutuskan bahawa aduan atau lima pertuduhan mengenai penyelewengan dalam proses pengundian adalah tidak
benar termasuk dua pertuduhan terhadap penyogokan atau rasuah.

“Mahkamah mendapati bahawa segala aduan itu adalah tidak berasas sama sekali. Keterangan daripada semua
saksi-saksi mereka adalah bercanggah.

“Pada asasnya itulah sebabnya dari awal kita telah membuat bantahan bahawa kes ini tidak sepatutnya
dibicarakan tetapi kita menghormati keputusan hakim bahawa kes petisyen pilihan raya perlu didengar untuk
memuaskan hati rakyat,” ujarnya.

Rosli menambah keputusan hakim yang dibacakan sebanyak 35 muka surat membuktikan tidak berlaku
penyelewengan, sogokan atau rasuah.

Pada PRN Melaka 20 November lalu, Dr. Mohd Aleef yang merupakan calon Perikatan Nasional (PN) menang
dengan majoriti 530 undi selepas mendapat 6,789 undi, menewaskan Mohamad Ali yang mendapat 6,259 undi
dalam saingan empat penjuru.

habis…./

(Visited 42 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button