BeritaNasional

Tommy Thomas perlu letak jawatan demi kebaikan rakyat, negara

SEJAK awal cadangan pelantikan Tan Sri Tommy Thomas sebagai Peguam Negara, banyak pihak telah melahirkan kebimbangan.

Mereka bimbang peguam yang dilihat sangat dekat dengan pimpinan DAP ini tidak mampu melaksanakan tugas dengan adil – seperti harapan kebanyakan rakyat di negara ini.

Namun, pucuk pimpinan kerajaan berusaha merasionalkan tanggapan yang wujud. Pengalaman luas beliau dalam bidang perundangan negara diambil sebagai kayu ukur kepada pelantikan tersebut.

Akhirnya, atas `nasihat’ Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berdasarkan peruntukan yang terkandung dalam Perkara 45 (1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Muhammad V memperkenankan pelantikan Tommy sebagai Peguam Negara pada 4 Jun 2018.

Malangnya hari demi hari, `dunia’ perundangan negara  tidak sunyi daripada dilanda kontroversi. Banyak pertikaian dibangkitkan. Isunya berkait dengan peranan dan kuasa Peguam Negara.

Sering dibincangkan dalam media-media sosial  tentang `ketidakadilan’ Tommy dalam memberikan tumpuan terhadap kes-kes di mahkamah. Keadaan ini menebalkan semula tanggapan beliau lebih berperanan sebagai peguam DAP, bukan mewakili kepentingan awam.

Ini apabila kebanyakan kes membabitkan pemimpin atau kepentingan DAP dilihat mendapat `pembelaan’ di mahkamah.

Dalam masa sama, ada pula kes yang memberi kesan negatif, didakwa sengaja dilambat-lambatkan atau dibiarkan begitu sahaja.

Tindakan membebaskan 12 individu yang didakwa terlibat dengan aktiviti Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang antaranya termasuk beberapa pemimpin DAP, adalah contoh paling jelas.

Kes berprofil tinggi membabitkan keselamatan negara ini, digugurkan prosidingnya walaupun Kementerian Dalam Negeri dan pihak polis mempunyai bukti kukuh penglibatan mereka.

Hakikatnya, keputusan menghentikan 34 pertuduhan ke atas semua individu ditahan di bawah SOSMA dan bakal dibicarakan tidak lama lagi itu adalah suatu yang amat menghairankan.

Bagi Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, tindakan Tommy tersebut bukan sahaja mengecewakannya malah turut mencalar integriti badan perundangan negara.

“PPMM sedar Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa Peguam Negara memulakan, meneruskan atau memberhentikan sesuatu tindakan jenayah di mahkamah sivil.

“Walau bagaimanapun kuasa tersebut perlu dilaksanakan secara kehakiman (judicial). Sebagai seorang penjawat awam, Peguam Negara perlu memberi pertimbangan kepada keselamatan negara, kepentingan dan keselamatan awam serta perhatian media,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Zainul Rijal, pertimbangan-pertimbangan tersebut perlu dibuat secara telus berdasarkan faktor-faktor di Malaysia, bukan negara seperti Australia, Eropah atau Sri Lanka.

“Malah Peguam Negara mesti memberi pertimbangan serius kepada pandangan yang diberikan oleh pihak polis yang merupakan penjaga keselamatan dalam negara.

“Sehingga kini tiada langsung kenyataan daripada pihak polis menyatakan LTTE bukan lagi isu keselamatan negara. Malah LTTE masih tersenarai sebagai pertubuhan pengganas di Malaysia. Tindakan Peguam Negara ini telah melangkaui kuasa eksekutif (Kementerian Dalam Negeri) yang mengatakan LTTE adalah pertubuhan pengganas,” katanya.

Zainul Rijal turut menarik perhatian kemungkinan berlaku penyalahgunaan kuasa dalam jawatan awam berdasarkan keputusan dibuat membabitkan kes tersebut sebelum ini selain kemampuan Peguam Negara sendiri dalam menjalankan tugas, peranan dan tanggungjawabnya sebagai Pendakwa Raya.

“Persoalan yang lebih besar ialah kenapa pada 29 Oktober 2019 mereka dituduh tetapi sekarang pada 21 Februari 2020 ditarik balik, dalam tempoh kurang daripada empat bulan?

“Apakah pertimbangan semasa mengemukakan pertuduhan dan apa pula pertimbangan semasa menarik balik pertuduhan? Kenapakah keputusan drastik dibuat dalam tempoh tidak sampai empat bulan tersebut?” soal beliau.

Tindakan terbaharu Tommy itu dan beberapa siri sebelum ini jelas menzahirkan ketidakmampuan beliau dalam menggalas tanggungjawab sebagai Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Justeru kata Zainul Rijal, lebih baik Tommy mengundurkan diri secara terhormat sebelum pihaknya merafak sembah kepada Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri meminta agar menggantikan Peguam Negara yang lebih berkemampuan dan telus dalam melaksanakan tanggungjawab diamanahkan.

(Visited 179 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button