Bencana alamKebakaranNasional

Punca kebakaran rumah kedai Kampung Cina diketahui 2 hari lagi

Punca kebakaran membabitkan deretan 12 rumah kedai di Kampung Cina di sini hanya akan diketahui dalam tempoh kira-kira dua hari lagi, kata Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Terengganu Hanafiah Mat.

Katanya, tahap kerugian masih dalam siasatan unit forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Untuk bantuan awal, kerajaan hari ini menyampaikan RM1,000 kepada setiap mangsa (ketua isi rumah) dan seterusnya kita akan meneliti apa sahaja bantuan yang diperlukan untuk disalurkan kepada mangsa.

“Ada antara premis terbabit dibina di atas tanah negeri, jadi kita perlu meneliti apakah jenis bantuan yang boleh diberikan,” katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kejadian di sini hari ini.

Beliau berkata, kebiasaannya mangsa kebakaran yang merupakan pemilik tanah layak menerima bantuan membina semula kediaman bernilai RM60,000, manakala mereka yang tidak memiliki tanah diberi RM25,000 setiap seorang.


“Memandangkan kebanyakan mangsa adalah peniaga, kita akan berbincang dengan Majlis Perbandaran (Kuala Terengganu) untuk mencari tapak sementara untuk mereka terus menjalankan perniagaan,” katanya.

Hanafiah juga berkata, peniaga yang terlibat dalam kejadian itu juga boleh mendapatkan bantuan daripada Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu.

Dalam kejadian malam tadi, bomba mengambil masa hampir 10 jam untuk memadamkan kebakaran membabitkan rumah kedai itu termasuk kedai tekstil, restoran, kedai barang kemas dan rumah penginapan di Jalan Bandar, Kampung Cina.

Dipercayai empat sekeluarga yang tinggal di rumah kedai berkenaan tidak sempat menyelamatkan harta benda mereka kecuali pakaian terlampir kerana api merebak dengan cepat.

Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata pihaknya mengalami sedikit kesukaran untuk memadamkan api berikutan keadaan cuaca berangin menyebabkan api mudah merebak selain sebahagian bangunannya diperbuat daripada kayu.

(Visited 22 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button