Nasional

Aduan tompokan berwarna merah, ikan mati di Teluk Bahang

Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menerima aduan ikan mati dan tompokan berwarna merah di Teluk Bahang daripada orang awam melalui emel e-aduan pada 27 Ogos 2023, mengenai tompokan merah pada permukaan laut dan ikan mati di sekitar Jeti LKIM Teluk Bahang, Pulau Pinang. Lebih spesifik pada kedudukan tompokan ditemui di koordinat (100.193017, 5.472580) dan berhampiran sangkar ikan (100.205173,
5.472580).

Sejurus aduan diterima sepasukan anggota JAS telah ke lapangan dan meninjau keabsahan aduan tersebut. Pemerhatian visual mendapati wujud tompokan berwarna merah yang biasa dikaitkan dengan fenomena
algae bloom.

Pada masa yang sama terdapat bangkai-bangkai ikan terapung di permukaan laut. Lokasi kejadian adalah berhampiran kawasan ternakan ikan sangkar. Beberapa persampelan telah dibuat dan dihantar ke Jabatan kimia untuk analisa lanjut.

Analisa awal melalui bacaan in-situ pada 29 Ogos 2023 menunjukkan Dissolved Oxygen (DO) sekitar 1.59 mg/L – 2.09 mg/L bagi kedalaman antara 1 hingga 4 meter.

Siasatan awal mendapati kepekatan oksigen terlarut (DO) di kawasan ini tidak mematuhi Kelas 2 Standard Kualiti Air Marin Malaysia (SKAMM) untuk melindungi sumber hidupan akuatik.

Merujuk kepada Kenyataan Media dari Pejabat Perikanan Negeri Pulau Pinang pada 29 Ogos 2023 mendapati kepadatan sel fitoplanton yang tinggi mengesahkan berlaku ledakan alga dan boleh menyebabkan kematian ikan.

Berdasarkan rekod Jabatan Alam Sekitar, kawasan Teluk Bahang merupakan kawasan komuniti luar bandar dan kebanyakan penduduk  bekerja sebagai nelayan serta industri pelancongan.

Sekitar kawasan ini tidak mempunyai punca pencemar tetap dari mana-mana industri-industri. Kedua-dua loji pengolahan kumbahan yang berkapasiti 2500 PE dan 1680 PE di Teluk Bahang yang ketika ini mematuhi standard yang telah ditetapkan.

Di bawah Program Pengawasan Kualiti Alam Sekitar (Environment Quality Monitoring Program, EQMP), terdapat dua stesen pengawasan kualiti air marin di sekitar kawasan Teluk Bahang yang mana kualiti air marin dipantaui sebanyak enam kali setahun.

Berdasarkan data pengawasan tersebut, status kualiti air marin untuk kedua-dua stesen yang berdekatan dengan Teluk Bahang tersebut tidak pernah merekodkan status tercemar, malah, lazim berada pada status baik dan terbaik sebelum ini.

Walau bagaimanapun, Jabatan Alam Sekitar akan terus memantau kualiti air marin di sekitar perairan ini dan turut bekerjasama dengan Jabatan Perikanan Pulau Pinang dalam fenomena ini.

Orang ramai juga diminta bekerjasama untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol, 1-800-88-2727 dan https://eaduan.doe.gov.my.

DATO’ WAN ABDUL LATIFF BIN WAN JAFFAR
Ketua Pengarah Alam Sekitar Malaysia
30 Ogos 2023

(Visited 137 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button