Nasional

Tindakan tampar budak adalah salah, hentikan penderaan fizikal – Hannah Yeoh

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengutuk tindakan seorang jurulatih yang dikatakan menampar dua pemainnya pada satu kejohanan bola tampar yang rakamannya tular di dalam media sosial,

Kedua-dua pemain berkenaan dipercayai berumur bawah 14 tahun dan bertanding bagi Kejohanan Bola Tampar Remaja B14 Malaysia 2022 di Johor baru-baru ini.

Hannah berkata, insiden berkenaan tidak wajar berlaku dan pihaknya telah menghubungi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung dengan insiden berkenaan.

“Ini adalah salah. Saya sudah bercakap dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan kami sama-sama sedang mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian berkenaan.

“Tampar budak pun salah. Malah, menampar sesiapa adalah salah,” katanya dalam ciapan di Twitternya hari ini.

Tegas Hannah, rakyat Malaysia perlu berhenti menormalkan penderaan fizikal sebagai cara bagi pematuhan tingkah laku yang salah terhadap kanak-kanak, atlet, pasangan mahupun pembantu rumah.

Katanya, beliau sudah berbincang dengan Menteri Pendidikan dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mengadakan siasatan bebas.

“Siasatan bebas berkenaan adalah untuk mengenal pasti sama ada cara melatih menggunakan kekerasan sebegitu telah lama diamalkan dalam pasukan bola tampar ini.

“Kita perlu belajar daripada perkara ini, tambah baik dan pastikan ia tidak berulang,” katanya.

Terdahulu, KPM menerusi kenyataan media hari ini, pihaknya akan meneruskan siasatan bagi tujuan tatatertib, insiden seorang jurulatih menampar dua pemainnya pada satu kejohanan bola tampar yang rakamannya tular dalam media sosial.

KPM memaklumkan tindakan sewajarnya akan diambil serta memandang serius terhadap isu yang dilaporkan berkenaan insiden itu.

“Satu perjumpaan dengan ibu bapa murid yang terbabit akan dilaksanakan untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan laporan itu.

“KPM juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) jika ada laporan polis dibuat mengenai insiden terbabit,” katanya.

KPM sentiasa komited untuk memastikan keselamatan dan kebajikan murid sentiasa menjadi keutamaan.

(Visited 164 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button