Nasional

Menteri agama sembuh sepenuhnya Covid-19

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri dibenarkan keluar dari Hospital Tuanku Ja’far  dan pulang ke rumahnya petang tadi.

Beliau telah disahkan pulih sepenuhnya daripada pandemik Covid-19.

“Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kebangkitan.

“Saya telah dibenarkan untuk keluar dari wad pada petang ini kerana telah disahkan pulih sepenuhnya daripada Covid-19.

“Segala puji bagi Allah yang mana dengan nikmatnya sempurna segala kebaikan.” kata Dr. Zulkifli dalam hantaran terbaharu di Facebook.


Menurutnya, atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) beliau akan berehat di rumah sehingga selesai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Zulkifli juga berkata, beliau tidak akan bertemu sesiapa sepanjang berehat di rumah sebaliknya akan melakukannya menerusi sidang video sahaja.

Dalam tempoh itu, dia juga akan terus memantau semua gerak kerja dan laporan agensi-agensi agama di bawah tanggungjawabnya dari rumah. Segala makluman umum akan disampaikan melalui media sosial rasmi miliknya.

Jelas Zulkifli, fokus utamanya ketika ini adalah menyaluran bantuan kepada kelompok sasar terutamanya di Kuala Lumpur, WP Putrajaya dan Selangor yang ketika ini berhadapan dengan PKPB.

Menurut beliau, bantuan kepada mereka yang memerlukan harus disalurkan dengan segera.

Dr. Zulkifli turut berterima kasih kepada pihak yang mendoakan kesihatannya sepanjang berada di hopital menjalani rawatan termasuk Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin.

“Terima kasih kepada YAB Perdana Menteri, Ahli-Ahli Jemaah Menteri, para ulama’ di seluruh dunia yang menghantar pesanan mesej kepada saya dan semua rakyat Malaysia yang mendoakan saya.

“Tidak lupa kepada Menteri Kesihatan, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia dan warga KKM khususnya di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban,” kata Zulkifli.

Zulkifli disahkan positif Covid-19 dan dimasukkan ke hospital pada 5 Oktober lalu.

Pada 24 September lalu, Zulkifli dilaporkan berada di Sabah untuk menghadiri beberapa program dan pulang ke Kuala Lumpur.

Sehingga kini KKM mengesahkan Zulkifli tidak menjangkiti kontak rapatnya selepas melakukan ujian sariangan Covid-19 ke atas mereka-SM

(Visited 152 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button