Berita

Memelihara etika penting dalam menentukan kejayaan – Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyifatkan etika sebagai prinsip-prinsip bertingkah laku yang mengawal seseorang individu ataupun sesebuah profesyen dan juga sebagai satu ‘standard’ kepada apa yang kita panggil sebagai tingkah laku.

Tambah baginda lagi, istilah etika dalam kalangan teknokrat atau pakar pula merujuk kepada isu-isu ‘standard moral’ yang melibatkan para teknokrat ataupun pemimpin yang boleh membantu dalam meningkatkan lagi integriti profesyen kakitangan sesebuah organisasi.

Baginda bertitah, di dalam organisasi, etika amat berperanan penting dalam menentukan kestabilan organisasi berkenaan. Melalui etika juga, ia dapat memelihara nilai-nilai murni organisasi dengan sikap bertanggungjawab dan prihatin terhadap kebajikan warganya. Etika dapat memantapkan kestabilan organisasi, seterusnya mempertingkatkan lagi produktiviti, kredibiliti dan reputasi serta menjamin perkembangan yang berterusan di kalangan kakitangan.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan Majlis Agams Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM21,000 kepada seramai 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid
Al Barakah, Jelempok dekat Arau. Masing-masing menerima RM700 setiap seorang yang akan diagihkan oleh amilnya, Zainol Ahmad.

Mengiringi baginda ialah Ketua Bahagian Pembangunan Wakaf, Hartanah dan Mal Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Mohd Nazri Mat Rejab dan Ketua Bahagian Pengurusan Zakat MAIPs, Syed Aisam Syed Idris Alhabshe.


Tuanku Syed Faizuddin Putra menyimpulkan bahawa etika ini menjadi begitu penting apabila kita berhadapan atau mengendalikan tatacara kehidupan manusia terutamanya dalam menguruskan individu, keluarga, organisasi dan masyarakat bagi memastikan kesejahteraan dan kebahagiaan itu dapat dikekalkan.

Justeru, kepentingan etika ini boleh dilihat dalam konteks sejagat iaitu melalui individu, keluarga, organisasi dan juga masyarakat, jelas Tuanku Raja Muda.

(Visited 51 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button